Kerajaan PN utuh
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memandang serius kandungan surat Presiden UMNO bertarikh 26 Februari lalu kerana ia mempunyai implikasi yang besar terhadap kerjasama di masa hadapan antara UMNO, Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, dalam hal ini Bersatu memutuskan untuk terus fokus memperkasakan gerak kerja bersama rakan-rakan dalam Parti PN iaitu Pas, STAR, SAPP dan Gerakan berlandaskan perjuangan yang jujur dan ikhlas kepada rakyat bagi memenangi pilihanraya akan datang.

“Bersatu juga berpendirian bahawa Kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih utuh dan berfungsi untuk memberi khidmat kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan media malam ini.

Baca artikel berkaitan: Keputusan MT UMNO tolak PPBM ambil kira suara akar umbi

Hubungan dengan UMNO: Bersatu akan putuskan petang ini

Tambah Hamzah, pada Mesyuarat MPT Bersatu pada hari ini yang dipengerusikan Muhyiddin, parti tersebut menzahirkan kesyukuran atas kejayaan Kerajaan PN menempuhi tempoh satu tahun mentadbir negara.

Katanya, dalam tempoh pentadbiran satu tahun itu, Kerajaan PN telah berjaya menjulang prinsip-prinsip urus tadbir kerajaan yang baik, telus serta berintegriti terutamanya dalam memelihara kebebasan badan kehakiman dan kedaulatan undang-undang.

“Dalam menghadapi pandemik COVID-19 dan situasi ekonomi yang mencabar, kestabilan politik adalah amat penting bagi memastikan segala perancangan kerajaan dapat direalisasikan dengan berkesan.

“Justeru, BERSATU mengucapkan terima kasih kepada semua parti politik yang setia dan istiqomah dalam mendokong serta mempertahankan aspirasi Kerajaan PN,” jelasnya.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan petang tadi memaklumkan MT UMNO telah sebulat suara bersetuju untuk Presiden UMNO mengutuskan surat kepada Muhyiddin bagi menyatakan keputusan bahawa tiada kerjasama dengan Bersatu dalam PRU-15.

Menurut Ahli Parlimen Pontian itu, UMNO pada masa sama berpendapat, kebersamaan dalam Kerajaan PN boleh diteruskan sehingga pembubaran Parlimen.

“Sejak dari awal, UMNO sentiasa berpegang kepada pendirian bahawa untuk memastikan perpaduan yang dibina di atas sebuah pakatan atau kerjasama politik yang bertahan lama dan efektif mestilah berteraskan kejujuran dan keikhlasan, demi menjaga kemaslahatan rakyat,” kata Ahmad.

.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram