PADA pemilihan parti tiga tahun lalu, Khairy Jamaluddin mulanya mengumumkan akan bertanding jawatan Naib Presiden.
Namun dua minggu kemudian iaitu pada 17 Jun 2018, Khairy mengejutkan ramai apabila berubah fikiran dengan menawarkan diri sebagai calon Presiden UMNO.
Masih segar, ayat yang digunakan beliau ialah “alang-alang menyeluk pekasam” bagi mengubah keputusan sidang akhbarnya 2 Jun 2018.
Langkah itu mengejutkan ramai apatah lagi bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu dilihat seperti sudah memberi ‘isyarat sokongan’ kepada tokoh tertentu untuk menerajui parti.
Justeru, apabila Khairy lantang menggesa pemilihan parti diadakan tahun ini seperti dijadualkan, ada yang tertanya-tanya apakah beliau masih mahu mencuba nasib merebut jawatan no. 1 parti.
Namun hari ini, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu ketika ditanya pemberita mengenai perkara tersebut hanya berkata, ketika ini beliau hanya mahu ada keputusan daripada parti yang pemilihan akan diadakan tahun ini.
Menurut Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau itu, selepas ada keputusan daripada Majlis Tertinggi (MT), barulah beliau akan memikirkan jawatan yang hendak ditandingi kali ini.
“Saya nak supaya ada keputusan ada pemilihan dulu, lepas tu baru kita fikir nak bertanding apa.
“Sekarang ini belum ada keputusan daripada MT sama ada nak tangguh atau nak adakan pemilihan parti.
“Bagi saya MT kena buat keputusan adakan pemilihan dan jangan tangguh lagi,” katanya seperti dilapor MalaysiaGazette hari ini.
Terdahulu, Khairy membuat lawatan kerja di Pusat Pemberian Vaksin, Pulau Pinang hari ini.

Sejak Khairy membuat gesaan supaya pemilihan parti disegerakan tahun ini dan bukannya ditangguhkan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15, perkara itu menjadi perdebatan hangat dalam kalangan UMNO.
Malah, Khairy semalam menolak pandangan yang beranggapan bahawa pemilihan parti hanya akan mengundang perpecahan.
“Dahulu kita tangguh selepas PRU-14, lingkup juga UMNO,” kata Ahli Parlimen Rembau itu semalam kepada pemberita di Putrajaya.
Baca artikel berkaitan: Khairy ulas Najib: “Tangguh pun UMNO lingkup juga”
PAU nak PRU tahun ni, KJ pula nak pemilihan UMNO disegera
Kata-kata itu yang dilihat ramai sebagai sindiran ditujukan beliau menyanggah pandangan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pada pemilihan akhir Jun 2018 itu, Khairy tewas kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam saingan tiga penjuru.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

