Seorang majikan diikat jamin selepas dia bersama pembantunya mengaku tak bersalah atas kesalahan memukul dua pengawal peribadi ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret Klang, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

CHUNG CHEE YANG, majikan yang memukul pengawal peribadi pada hari pertama Ramadan mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret Klang, pagi tadi.

Ahli perniagaan berusia 43 tahun itu yang didakwa bersama pembantu peribadinya, Choo Hin Voon, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret P Sarulatha.

Antara pertuduhan selain menyebabkan kecederaan adalah kerana berkait menghina kepercayaan agama mangsa iaitu Mohd Azminizam Zulkepli, 44, dan Ahmad Shamsuri Zailani, 27.

Mengikut pertuduhan pertama, Chee Yang dituduh di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah terhadap Mohd Azminizam dengan ugutan hendak menyebabkan kecederaan parah mengacukan pistol ke arah mangsa.

Memetik laporan portal Astro Awani, dia dituduh melakukan kesalahan itu di antara jam 10.30 hingga 11.30 malam di luar halaman rumah di Jalan Batu Nilam 9, Bandar Bukit Tinggi, Klang pada 13 April lalu.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Chee Yang juga dituduh bersuhabat dengan tertuduh kedua dengan mengarahkannya untuk sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Ahmad Shamsuri dan Mohd Azminizam menggunakan senjata iaitu sebatang rotan pada masa, tempat dan tarikh yang sama.

Tertuduh juga berdepan satu lagi pertuduhan iaitu dengan niat yang disengajakan untuk melukakan perasaan keagamaan kedua-dua mangsa di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda atau kedua duanya sekali.

Chee Yang turut dituduh di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Mohd Azminizam pada masa, tempat dan tarikh yang sama.

Bagi tertuduh kedua, Hin Voon, dia berdepan dua pertuduhan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Dia dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas kedua-dua mangsa menggunakan rotan pada masa, tempat dan tarikh yang sama.

Chung Chee Yang (depan) yang merupakan suspek utama bersama pembantunya, Choo Hin Voon (belakang) didakwa atas kesalahan memukul dua pengawal peribadi ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Baca artikel berkaitan: Majikan pukul pengawal peribadi didakwa di mahkamah esok

Majikan direman lagi, disiasat hina Islam dan cubaan bunuh

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda, atau sebat, atau dua daripada mana-mana hukuman itu.

Mahkamah membenarkan tertuduh pertama Chee Yang diikat jamin sebanyak RM30,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan, dan RM20,000 bagi dua lagi pertuduhan.

Tertuduh kedua, Hin Voon dibenar diikat jamin sebanyak RM20,000 atas dua pertuduhan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ashyraf Ashy’ari Kamaruzaman dan Mohd Fakhrurrazi Ahmad, manakala tertuduh diwakili Peguam Loi Yap Loong.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram