MALAYSIA telah berjaya menetapkan harga Sukuk Kelestarian berdaulat yang pertama di dunia dalam dolar Amerika Syarikat (AS) menerusi terbitan bertempoh matang 10 tahun dengan jumlah AS$800 juta (RM3.29 bilion).
Pada masa sama, kerajaan juga turut menerbitkan sukuk bertempoh matang 30 tahun pada kadar AS$500 juta (RM2.06 bilion) dengan kedua-dua tranche itu telah memperoleh penarafan A3 oleh Moody’s Investors Service dan A- daripada S&P Global Ratings.
Kementerian Kewangan dalam kenyataan memberitahu keyakinan pelabur terhadap Sukuk Kelestarian itu jelas dicerminkan menerusi lebihan langganan sebanyak 6.4 kali.
Kata Kementerian Kewangan, berikutan permintaan menggalakkan, kerajaan memutuskan untuk meningkatkan saiz terbitan asal daripada AS$1 bilion (RM4.11 bilion) kepada AS$1.3 bilion (RM5.35 bilion).
“Permintaan yang tinggi ini juga memberikan kadar hasil dan sebaran terendah bagi terbitan sukuk berdenominasi dolar AS oleh Malaysia dengan tranche 10 tahun ditetapkan pada 2.07 peratus manakala tranche 30 tahn pada 3.075 peratus.
“Yang lebih penting, permintaan ini mencerminkan keyakinan pasaran ke atas pemulihan dan prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia walaupun berhadapan dengan cabaran getir akibat pandemik Covid-19 dalam tempoh setahun lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: Kerajaan puas hati perkhidmatan TNB, terutama ‘bersama kongsi kesusahan rakyat’ – Shamsul Anuar
Terbitan sulung Sukuk Kelestarian Malaysia dalam dolar AS itu juga merupakan sukuk pertama di dunia yang diterbitkan sesebuah negara atau kerajaan di mana penerimaan terbitan akan disalurkan kepada projek sosial dan mesra alam.
Ia sekali gus menepati Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, terbitan sulung Sukuk Kelestarian itu jelas menggambarkan kepercayaan pelabur terhadap asas ekonomi dan prospek pertumbuhan kukuh negara.
“Terbitan ini bukan sahaja mengungguli pelbagai aspek malah merupakan sebuah pengiktirafan tinggi ke atas keupayaan inovatif industri kewangan Islam Malaysia dalam menstruktur sukuk bagi memajukan polisi berpaksikan SDG untuk mencapai sasaran Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” jelas beliau dalam kenyataan sama.
Pengagihan sukuk ini telah dibuat secara menyeluruh dengan tranche 10 tahun diagihkan sebanyak 55 peratus kepada pelabur Asia, 33 peratus pelabur Eropah, Asia Barat dan Afrika serta 12 peratus kepada pelabur AS.
Tranche 30 tahun pula diagihkan sebanyak 46 peratus kepada pelabur Asia, 33 peratus pelabur Eropah, Asia Barat dan Afrika serta 21 peratus lagi kepada pelabur AS.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

