SELEPAS 10 tahun laporan polis dibuat pada 31 Mac 2011 dan kes diletakkan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA), akhirnya seorang lelaki yang menyamar kononnya peguam Istana Johor ditangkap polis, hari ini.
Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, suspek seorang peguam berusia 51 tahun itu ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Kampung Dato’ Onn Jaafar, Johor Bahru.
Beliau berkata, lelaki tersebut ditangkap kerana memperdaya sebuah syarikat pengiklanan dengan menyamar kononnya sebagai peguam Istana Diraja Johor.
“Suspek telah memperdaya sebuah syarikat pengiklanan dengan penyamaran tersebut menyebabkan kerugian kira-kira RM185,000 telah dibayar kepada suspek.
“Ia adalah untuk pembayaran caj pemasangan papan iklan di kawasan konsensi Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LinKedua),” katanya dalam sidang akhbar di IPK Johor yang turut disiarkan menerusi Facebook Polis Johor hari ini.
Baca artikel berkaitan: Notis merah Datuk Seri Nicky, isteri diluluskan – Ayob Khan
Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, suspek yang turut mempunyai 17 kes lampau berkaitan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan kesalahan berkaitan akta syarikat akan dituduh di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor, esok.
Pada masa sama, Ayob Khan turut memaklumkan polis turut menahan dua ahli perniagaan yang menyamar sebagai kerabat diraja Johor dengan melakukan penipuan menawarkan projek pembersihan tanah tidak wujud di Mukim Sekakap, Mersing.
Kata Ayob Khan, ia melibatkan kerugian sebanyak RM2.4 juta dengan kedua-dua suspek telah dituduh di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, 9 Januari lalu.
“Sejak kebelakangan ini, terdapat pihak tertentu mengambil kesempatan mendakwa kononnya mempunyai hubungan rapat dengan Istana Johor atau mendakwa merupakan kerabat Diraja Johor untuk melakukan penyamaran serta penipuan.
“Polis Johor menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan mana-mana individu yang menyamar sebagai kerabat Diraja Johor atau kononnya mempunyai hubungan baik dengan pihak Istana Johor tanpa usul periksa bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan,” jelas beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

