Gambar FB JKJAV

LINDUNG Diri, Lindung Semua. Selepas selesai setengah juta petugas barisan hadapan divaksin, kini warga emas dan golongan rentan menjadi keutamaan dalam fasa kedua Program Imunasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Selain hadir di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga menggerakan pasukan ke pusat penjagaan warga emas.

Misalnya semalam di Pulau Pinang, penghuni pusat jagaan warga emas, Jasper Lodge divaksin oleh pasukan Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut (PKDTL).

Menerusi Facebook, pengurusan Jasper Lodge merakamkan penghargaan kepada petugas PKDTL di atas komitmen mereka sehingga semua penghuni dan petugas pusat jagaan itu divaksin untuk dos pertama.

“Dos vaksin pertama diberikan kepada penduduk dan kakitangan di Jasper Lodge Minden Heights hari ini.

“Ini adalah bagaimana kita memainkan peranan kita untuk memastikan orang tua selamat dan sihat.

“Terima kasih banyak kepada semua doktor dan jururawat yang terlibat!,” kata hantaran itu.

Baca artikel berkaitan: Pengalaman ditahan di ICU paling ‘menakutkan’, Tok Pa ajak rakyat ambil vaksin

Hampir sejuta sudah lengkap dua dos vaksin

Fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang bermula Februari lalu memvaksin kira-kira 500,000 petugas barisan sehingga April.

Fasa kedua yang dijadualkan bermula 19 April hingga Ogos depan pula adalah untuk kira-kira 9.4 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas dan golongan berisiko tinggi.

Fasa ketiga dijadualkan bermula Mei depan hingga Februari 2022 dan disasarkan untuk kira-kira 13.7 juta penduduk Malaysia berumur 18 tahun ke atas, sama ada rakyat tempatan atau warga asing.

Sementara itu, Pusat Pemberian Vaksin akan beroperasi seperti biasa sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh yang bakal dilaksanakan mulai Selasa ini.

Justeru, semua tarikh temu janji pemberian vaksin yang diberikan sebelum ini terpakai, enurut media sosial Jawatankuasa Khas Akses Vaksinasi Kebangsaan (JKJAV).

“Hanya tunjukkan butiran temu janji atau pengesahan di MySejahtera bila diminta untuk membantu proses pengesahan pihak berkuasa,” kata JKJAV.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram