1 JUN 1885 : Pembukaan jalan kereta api Taiping – Port Weld

Dari Penulis

Pada hari ini dalam tahun 1885, jalan kereta api yang pertama di Tanah Melayu dari Port Weld  ke Taiping telah dibuka secara rasmi oleh Residen British di negeri berkenaan, Sir Hugh Low.

Port Weld sebelum itu dikenali sebagai Sapetang (sekarang Kuala Sepetang). Nama ‘Weld’ diambil daripada nama Sir Frederick Weld, Gabenor Negeri-Negeri Selat, yang tiba di Taiping pada tahun 1881 dan meningkatkan kemudahan infrastruktur di kawasan tersebut.

Walaupun landasan kereta api ini hanya 12.8 kilometer sahaja tetapi pembinaan dan kejayaannya kemudian telah mendatangkan banyak faedah kepada perdagangan British di Tanah Melayu.

Lokomotif pertama diperkenalkan dalam sistem rangkaian kereta api di Tanah Melayu. Lokomotif berkuasa wap ini dibawa masuk melalui ‘The Crown Agents’ (Straits Settlements), didatangkan dari England oleh pembuatnya ‘Ransomes and Rapier, pada 18 Mei 1881 untuk Kereta api Kerajaan Negeri Perak (Perak State Railway).

Landasan ini mula dibina pada 1881. Pada peringkat awal pembinaannya ia menghadapi banyak kesulitan. Antaranya ialah modal yang tidak mencukupi dan keadaan muka bumi yang berpaya.

Justeru banyak tanah terpaksa dibawa dari Taiping untuk tujuan penambakan. Ini ditambah lagi dengan kekurangan tenaga kerja berpengalaman dan ketiadaan jurutera-jurutera yang mahir mengenai pembinaan landasan kereta api di Tanah Melayu. Oleh yang demikian, kerajaan negeri Perak terpaksa membayar kepada kerajaan Ceylon untuk menjalankan kerja-kerja tersebut.

Usaha ini pada peringkat awalnya menerima banyak kritikan. Bagaimana pun apabila siap, terbukti ia adalah satu pelaburan yang menguntungkan dan menjadi sumber pengangkutan utama bagi hasil dalam negeri.

Stesen kereta api Port Weld pada 1885
Stesen Kereta api Simpang, pada 1886.

Sebenarnya, tujuan utama British membina jalan kereta api dari Taiping ke Port Weld ialah bagi mengangkut bijih timah yang banyak terdapat di Larut, Taiping dan Matang. Sebelum adanya jalan kereta api, bijih timah diangkut melalui Sungai Larut dan terus ke Pulau Pinang. Menerusi Pelabuhan Pulau Pinang, bijih timah dieksport ke Britain.

Bagaimanapun, Sungai Larut kemudiannya didapati tidak lagi sesuai dengan jumlah bijih timah yang banyak. Perang Larut antara kumpulan kongsi gelap Ghee Hin dan Hai San menyebabkan pengangkutan Sungai Larut tidak lagi selamat. Muaranya juga semakin cetek untuk kapal-kapal masuk dan rapat ke tepian.

`Rolling Stock’ kepala kereta api yang digunakan oleh Perak Railway pada tahun 1885.

Justeru, satu pelabuhan dan satu sistem pengangkutan baru yang lebih berkesan perlu diperkenalkan. Port Weld dipilih sebagai pelabuhan kerana airnya dalam, sesuai untuk kapal bersauh atau berlabuh dan jaraknya agak dekat dengan Pulau Pinang. Jalan kereta api pula dipilih kerana menjimatkan masa, mampu mengangkut barang dalam jumlah yang besar dan menguntungkan dalam jangka masa panjang.

Selain bijih timah, antara bahan-bahan yang turut dibawa melalui jalan kereta api ini ialah kayu api, beras, candu serta barang-barang keperluan harian. Di samping itu, ia turut membawa penumpang.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Tiga lelaki warga asing ditahan kes curi dan dadah

TIGA lelaki warga asing ditahan dalam dua operasi berasingan yang dijalankan Strike Team Balai Polis Tawau selepas dipercayai terbabit...

More Articles Like This