gadis excel
Lukisan KTM Tasek Gelugor yang mendapat pujian ramai dengan hanya menggunakan Microsoft Excel

SEKALI pandang mesti ramai akan sangkakan hasil kerja seni yang dipaparkan di atas menggunakan perisian Adobe Illustrator atau Photoshop yang sememangnya cukup sinonim dalam kalangan artis grafik.

Namun, ia jauh meleset kerana hasil seni itu hanya dihasilkan menggunakan Microsoft Excel yang selama ini kita cuma tahu ia lebih kepada alat mengumpul data.

Safarina Md Fazil, 26, berkata, semuanya bermula dengan terbaca satu artikel yang dihasilkan oleh seorang pelukis Jepun yang berjaya menghasilkan karya-karya indah menggunakan Excel sahaja.

Disebabkan kelainan itu, ia telah menarik minat gadis dikenali dengan nama manja Ari untuk memulakan langkah menghasilkan karya seni digitalnya.

“Pelukis Jepun terkenal  itu merupakan seorang lelaki tua berusia 77 tahun yang bernama Tatsuo Horiuchi. Tatsuo Hariuchi telah menghasilkan pelbagai perincian halus digital berkonsepkan alam sekitar seperti pergunungan, bunga sakura dan hutan selama lebih 15 tahun dengan menggunakan Microsoft Excel,” kata Ari yang menjadikan pelukis itu sebagai inspirasinya.

Kata Ari kepada UtusanTV, dia sememangnya minat melukis dan mula berjinak-jinak menggunakan Microsoft Excel pada tahun 2016 yang mana ketika itu penglibatannya hanya sekadar suka-suka tetapi lama-kelamaan menjadi hobi kegemarannya.

Baca artikel berkaitan: Terserempak ‘ex’ dengan bunga baharu, ayah jadi hero anak kesayangan

Salah satu hasil seni Safarina yang diberi nama August D – Daechwita

“Ia sekadar hobi sahaja pada mulanya, sekadar suka-suka untuk mengisi masa lapang. Tetapi saya ada hasilkan mini poskad bagi Artwork KTM Tasek Gelugor dan tak sangka mendapat perhatian ramai pula di Twitter”, menurut beliau yang kini bekerja sebagai Pembantu Hasil di Lembaga Hasil Dalam Negeri Cawangan Kangar.

Ujarnya, hasil seni mini poskad tersebut mendapat pujian ramai serta pelbagai komen positif daripada netizen.

Sehingga kini posting tersebut meraih 10 ribu tanda suka dan lebih 4,000 ulang kicau di laman Twitter miliknya @sfrnfzl_ .

” Lawanya! Saya pun baru tahu boleh guna excel. Level Excel ni saya rasa paling power” tulis salah seorang pengguna, @ftnblhksm di ruangan komen.

” Hebatnya akak! Saya ni pun terkial-kial nak tulis function dalam excel tu. Nice job kak”, tulis seorang lagi pengguna, @syfqabrzk di ruangan komen.

Lebih menggembirakannya lagi, tanpa diduga-duga hasil seninya tersebut juga meraih perhatian dan pujian daripada Microsoft sendiri yang telah meninggalkan komen “This is Amazing”.

Hasil lukisan Ari yang digunakan pada mini poskad KTM

Gadis yang berasal dari Perlis berkata dirinya sendiri seakan tidak percaya bakatnya dipandang dan berasa sangat gembira.

” Mula-mula macam tak percaya sehingga berkali-kali membacanya semula. Dalam masa yang sama terasa seronok juga sebab Microsoft perasan hasil seni saya dengan menggunakan perisian syarikat itu,” katanya.

Menurutnya, kebanyakkannya sumber idea dan rujukan untuk menghasilkan seni tersebut diilhamkan berdasarkan artis Korea atau K-pop Idol seperti BTS melalui muzik video mereka.

Tambahnya lagi, hasil kerja ini dihasilkan hanyalah sekadar hobi sahaja tetapi sekiranya ada yang berminat dan ingin membuat tempahan untuk lukisan beliau terbuka untuk menerimanya.

Safarina Md Fazil

Orang ramai yang ingin melihat sendiri hasil seni beliau dengan lebih lanjut boleh terus ke laman Instagram beliau @bysfrnfzl atau menerusi laman Twitter @sfrnfzl_.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram