SEJAK kebelakangan ini, semakin banyak kes melibatkan love scam dilaporkan berlaku terutamanya membabitkan ibu tunggal.
Kegiatan yang dijalankan oleh kebanyakannya bukan warganegara Malaysia menggunakan modus operandi sama iaitu memperdaya menerusi media sosial.
Namun begitu, aktiviti tidak bermoral itu memakan diri apabila berjaya dihidu dan ditangkap pihak berkuasa.
Itu yang berlaku kepada seorang warga Nigeria yang diberkas polis selepas dipercayai memperdaya seorang ibu tunggal sehingga menyebabkan kerugian RM78,214 pada 28 Mei lalu.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka, Superitenden E. Sundra Rajan, lelaki berusia 38 tahun itu ditangkap dalam serbuan Op Tiong di sebuah apartmen, kelmarin.
Beliau berkata, serbuan dilakukan sepasukan polis daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah berdasarkan hasil risikan.
Baca artikel berkaitan: ‘Love Scam’ ejen hartanah rugi RM2.7 juta diperdaya ‘Eric Tai’
Kata beliau, suspek dipercayai menjalankan kegiatan love scam menerusi laman Facebook dengan menggunakan nama Mahmudin Jaafar.
“Suspek mendakwa mahu mengirimkan hadiah kepada pengadu berupa barang kemas, kasut, telefon bimbit, pakaian dan wang tunai sebagai tanda perkenalan.
“Suspek juga telah meluahkan perasaan cinta melalui mesej-mesej yang dihantar kepada mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Sundra Rajan berkata, hasil serbuan polis telah menemukan dan merampas 14 keping kad bank, tiga buah telefon bimbit pelbagai jenama, satu keping sampul kurier, pasport dan sebuah tablet iPad.
Katanya, polis turut percaya kegiatan itu melibatkan rangkaian beberapa individu lain dengan polis sedang giat menjalankan siasatan.
Beliau memaklumkan, permohonan reman ke atas tangkapan telah dipohon sehingga hari ini di hadapan Majistret Mahkamah Ayer Keroh dengan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.
“Polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati sekiranya diarahkan individu yang baru dikenali untuk membuat pembayaran ke mana-mana akaun bagi mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan.
“Orang ramai juga dinasihatkan membuat semakan ke atas nombor telefon atau nombor akaun yang digunakan suspek melalui laman web ccid.rmp.gov.my/semakmule/ sebelum melakukan apa-apa transaksi,” jelas beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

