raya
SETIAP kali menjelang hari raya, trafik ke negeri-negeri Pantai Timur akan meningkat. - GAMBAR: Abd Razak Aid

TAK perlu tuding jari salahkan sesiapa kalau ada yang masih berkeras nak rentas negeri hanya untuk nak balik raya, tegas Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus.

“Akhirnya kita merupakan indeks atau punca kepada kluster baru, adakah kita masih nak salah kan orang lain atau salahkan pihak lain?,” soal Nor Azimi menerusi satu hantaran di Facebook beliau.

Hantaran beliau turut tular termasuk dikongsi di Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

DR NOR AZIMI YUNUS.

Berikut hantaran Dr Nor Azimi.

KENAPA BEGINI SIKAP KALIAN

Tidak serikkah kalian dengan sejarah musim Aidilfitri yang lalu? Dipesan-pesan untuk tangguh rentas negeri untuk mengelakkan penularan lagi besar tetapi tidak berbekas. Kerasnya hati kalian.

Akhirnya kes mencanak naik. Sambutan Aidiladha seolah-olah mengundang situasi yang sama. Masih berduyun-duyun untuk rentas negeri pulang ke kampung.

Sungguh hati kalian tidak berbekas dengan angka kes harian atau angka kematian yang meningkat setiap hari.

Sanggup rentas negeri keluar dari kawasan wabak dan masuk kawasan kurang wabak. Membawa virus bersama untuk disebarkan di kawasan baru.

Apa kalian fikir kalian atau orang lain kebal dari jangkitan COVID-19. Jika kalian muda belia dan pertahanan kuat, kalian fikir CAT 1 jer pun. Kurantin jer 10 hari.

Tapi kalian lupa ada kumpulan yang perlu dilindungi seperti warga emas dan kanak-kanak kecil yang mungkin akan mendapat komplikasi serius.

Di Terengganu, tiga minggu kami berjaya kekalkan angka harian hanya dua digit sahaja. Tetapi dalam masa dua minggu, lapan kluster baru dikesan di Terengganu gara-gara rentas negeri.

Akhirnya bilangan kes baru meningkat. Ada kluster telah menular ke beberapa daerah. Kalian fikir kami tidak terkesan dengan situasi begini?

Baca artikel berkaitan: Aidiladha: Dokumen MITI ‘tak laku’ rentas negeri 4 hari

Jangan rentas negeri elak cetus kluster Aidiladha – KKM

Ada kluster buat majlis tahlil tiga malam. Diundang sama ustaz dan pelajar tahfiz. Akhirnya menjangkiti ramai pelajar tahfiz dan beberapa orang ustaz.

Kesalnya kami dan hati kami bagai disiat-siat melihat perkara itu masih berlaku. Kalian fikir bila balik berhari raya hanya duduk diam kat rumah. Tapi itu tak berlaku begitu.

Sejarah Aidilfitri membuktikan biarpun dilarang, aktiviti masak-masak dan berhimpun masih berlaku. Tapi semuanya dibuat senyap-senyap supaya orang tak tahu.

Anak beranak je pun. Kenapa nak risau tapi kalian lupa kluster COVID-19 tidak boleh diam-diam. Sampai masa semua terbongkar.

Kalau semua PATUH SOP dan tiada aktiviti berhimpun, mana mungkin beberapa keluarga dijangkiti serentak. Datang dari mana jangkitan jika bukan ada yang membawanya?

Nasi sudah menjadi bubur bila ada ahli keluarga menjadi korban COVID-19. Saat menyedihkan bila anak-anak menjadi yatim piatu. Ada kehilangan atuk nenek atau ayah ibu atau anak-anak atau saudara-mara.

Kenapa kalian tak boleh tangguh seketika. Sementelah varian baru Delta sudah dikesan di seluruh Malaysia termasuk di Terengganu. Kekuatan jangkitan sangat luar biasa.

Tak perlu tunding jari salahkan sesiapa. Kalau kita masih berkeras nak rentas negeri hanya untuk berhari raya dan akhirnya kita merupakan indeks atau punca kepada kluster baru, adakah kita masih nak salah kan orang lain atau salahkan pihak lain.

Cuba berfikir dan bertindak bijak untuk sama2 LINDUNGI DIRI DAN ORANG LAIN.

Kita bukan boleh beri suntikan vaksin serentak kepada ramai orang. Sedangkan COVID-19 mampu menjangkiti serentak ramai orang.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram