Gagal bayar RM200,000 kepada stokis, Muhammad Sajjad dikenakan notis bankrap

Dari Penulis

TINDAKAN usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat menghilangkan diri dari pihak berkuasa nampaknya semakin menambah masalah dalam kehidupan dan perniagaannya.

Selepas melarikan diri daripada menghadiri perbicaraan bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan dicari polis untuk membantu siasatan kes penipuan kad pengenalan, kini usahawan itu tidak dapat menyelesaikan kes mahkamah yang dihadapinya dengan bekas stokis.

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini membenarkan notis kebankrapan terhadap Nur Sajat diserahkan secara penyampaian ganti melalui notis iklan dan penampalan berikutan kegagalannya membayar penghakiman sebanyak RM200,000 kepada bekas stokis, OWA Resources seperti yang diputuskan Mahkamah Rayuan pada April lalu.

Peguam utama OWA Resources, Nurul Hafidzah Hassan berkata,dua plaintif dari OWA Resources iaitu Nurwati Hussin, 41, dan Mohammed Syakir Hussin, 32, berkata, notis berkenaan sudah dibuat minggu ini namun pihaknya belum menerima sebarang afidavit membantah notis kebankrapan itu oleh pihak Muhammad Sajjad.

BERITA BERKAITAN Polis cari Sajat bantu siasatan kes tipu kad pengenalan

“Pihak anak guam tidak dapat menjejaki lokasi sebenar defendan.

“Oleh itu, kami mendapatkan kebenaran mahkamah untuk menyerahkan notis secara iklan, menampal notis di mahkamah dan di depan rumah defendan,” katanya dalam kenyataan hari ini memetik laporan Berita Harian.

Nurul Hafidzah berkata, pada tahun lalu, anak guamnya berjaya membekukan akaun bank defendan tetapi hanya dapat memperoleh RM5,000 iaitu baki terkini dari akaun terbabit.

“Ini dilakukan melalui tindakan garnisi terhadap kesemua akaun defendan-defendan.

“Berikutan kegagalan defendan membayar penghakiman mahkamah, anak guam tiada pilihan lain melainkan membankrapkan defendan,” katanya.

Nurul Hafidzah berkata, mengikut penghakiman Mahkamah Rayuan, Muhammad Sajjad gagal dalam rayuannya bagi membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang memerintahkan usahawan itu membayar ganti rugi sebanyak hampir RM200,000 kepada OWA Resources.

“Difahamkan, pihak Muhammad Sajjad ada membuat cadangan awal bulan ini untuk membayar ganti rugi itu secara ansuran sebanyak RM3,000 sebulan sehingga selesai pembayaran penuh tetapi pihak plaintif tidak bersetuju dengan cadangan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, sebelum ini OWA Resources cuba menyerahkan notis bankrapsi kepada Muhammad Sajjad sebanyak tiga kali termasuk percubaan menyerahkan surat temujanji dan percubaan lain.

Bagaimanapun katanya, oleh kerana semua percubaan serahan itu gagal kerana Muhammad Sajjad tidak dapat ditemui maka plaintif memfailkan notis terbabit untuk serahan secara alternatif iaitu melalui notis iklan di surat khabar, di mahkamah dan juga di depan rumah defendan.

“Berdasarkan notis berkenaan, Muhammad Sajjad perlu membayar RM113,327 dengan lima peratus kadar faedah setahun atas jumlah baki dari 13 September 2018 (tarikh pemfailan writ saman) sehingga 3 Mac 2021 (tarikh notis kebankrapan) serta kos mahkamah sebanyak RM70,000 dan setakat 3 Mac 2021 jumlah itu menjadi RM197,329.87.

“Akta Insolvensi 1967 membenarkan prosiding kebankrapan dimulakan ke atas mana-mana individu yang gagal membayar penghakiman melebihi RM100,000.

“Oleh itu, OWA Resources memfailkan notis kebankrapan terhadap Muhammad Sajjad kerana masih gagal membayar jumlah berkenaan sehingga kini,” katanya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Jenazah suami Nancy Shukri diterbangkan ke Kuching hari ini

JENAZAH suami kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri iaitu Datuk Kamil Misuari akan diterbangkan...

More Articles Like This