PERIKATAN Nasional (PN) sebulat suara bersetuju mencalonkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri Kerajaan PN yang baharu.
Bagaimanapun selaras dengan prinsip PN untuk mempertahankan kerajaan yang berintegriti, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sokongan perikatan itu kepada Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO adalah bersyarat.
“Sekiranya dilantik sebagai Perdana Menteri oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Ismail Sabri hendaklah memastikan Ahli Jemaah Menteri yang bakal dilantik nanti adalah terdiri daripada mereka yang berintegriti, beramanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut Muhyiddin, semua 50 Ahli Dewan Rakyat parti-parti gabungan PN iaitu 31 daripada Bersatu, Pas (18) dan STAR (1) telah menyerahkan akuan bersumpah (SD) ke Istana Negara semalam menyatakan sokongan kepada Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri.
Menerusi kenyataan medianya itu, Muhyiddin berkata, empat Ahli Dewan Rakyat Bebas Pro-PN juga telah berbuat demikian.
“Saya juga telah berunding dengan pimpinan parti Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang membentuk Kerajaan PN sebelum ini untuk mengambil ketatapan yang sama.
“Keputusan ini dibuat demi menjamin kesinambungan dasar-dasar Kerajaan PN yang sedang menumpukan kepada usaha memerangi COVID-19 dan memulihkan negara sehingga tiba masa yang sesuai untuk diadakan Pilihan Raya Umum (PRU) bagi mengembalikan mandat kepada rakyat,” katanya.
Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memaklumkan, keputusan ini juga bermakna PN lebih mengutamakan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat berbanding politik dendam dalam persaingan merebut kuasa.
Katanya, apabila berhadapan dengan situasi krisis, ahli politik mesti berjiwa besar (magnanimous) demi kepentingan rakyat dan negara.
Baca artikel berkaitan: Ahli Parlimen tiba di Istana Negara berperingkat, Ismail Sabri jam 2 petang
Ismail Sabri bakal PM9, 114 Ahli Parlimen menghadap YDP Agong hari ini
Dipanggil sahkan SD, Perkara 43 Perlembagaan dipenuhi dengan teliti
Pada masa sama tegas Muhyiddin, Kerajaan PN di bawah pimpinan Ismail Sabri juga mestilah meneruskan amalan menghormati prinsip pengasingan kuasa, melindungi kebebasan badan kehakiman dan menjunjung konsep Raja Berperlembagaan.
“Saya berharap proses pelantikan Perdana Menteri yang baharu dapat berjalan lancar dan dimuktamadkan dalam masa terdekat menurut kehendak Perlembagaan Persekutuan.
“Selaku Pengerusi PN, saya akan meneruskan khidmat bakti kepada rakyat dan mempersiapkan parti bagi menghadapi PRU-15 apabila tiba masanya,” kata beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

