Semua yang layak divaksin akan diberi vaksin sebelum akhir tahun

Dari Penulis

KERAJAAN akan memastikan semua rakyat Malaysia yang layak menerima vaksin COVID-19 akan lengkap divaksin sebelum akhir tahun ini sama ada golongan dewasa mahu pun remaja.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ini susulan matlamat utama vaksinasi bagi mengurangkan kes dan kematian, bukan lagi untuk mencapai imuniti kelompok kerana ia sudah tidak realistik susulan varian Delta.

Katanya, ini seperti mana dinyatakan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sendiri yang mana tiada negara mampu mencapai imuniti kelompok.

“Oleh itu, kita telah mengubah strategi untuk memberikan vaksin kepada seramai mungkin penduduk Malaysia serta memasukkan golongan-golongan baru berdasarkan data seperti remaja dan kanak-kanak pada masa akan datang setelah diluluskan.

“Ini termasuk pemberian dos ketiga dan dos penggalak untuk golongan tertentu,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Menurut Khairy, langkah ini perlu untuk mengawal COVID-19 dan mengurangkan kadar kemasukan ke hospital dan kematian.

“Ini supaya kita dapat masuk ke fasa endemik dengan selamat,” tegasnya.

Kata beliau, dos ketiga vaksin COVID-19 akan diberikan terlebih dahulu sebelum disusuli dos penggalak.

Menurutnya, dos penggalak adalah berbeza dengan dos ketiga kerana dos ketiga diberikan kepada mereka yang tidak mempunyai respons imun yang optimum.

“Dos penggalak pula adalah kepada mereka yang mempunyai sistem imun yang optimum tetapi dalam beberapa bulan respons imun itu menurun.

“Maka dos penggalak akan memberi perangsang supaya respons imun dapat terus berada pada tahap optimum terhadap COVID-19,” jelasnya.

Baca artikel berkaitan: Dos ketiga akan mula diberi, keutamaan kumpulan berisiko – PM

UK beli sampai 500 juta dos vaksin, apa mereka nak buat?

Pada sidang akhbar itu, Khairy turut mengumumkan tempoh antara dos pertama dan kedua vaksin AstraZeneca kini dipendekkan daripada sembilan minggu kepada enam minggu.

“Kini penerima vaksin Astrazeneca boleh menerima dos kedua selepas enam minggu,” ujarnya.

Sebahagian daripada pelajar-pelajar sekolah berumur 16 hingga 17 tahun menerima suntikan vaksin Covid 19 pada Program Imunisasi Covid 19 Kebangsaan (PICK) Remaja di Dewan Canselor MSU, Shah Alam, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Berhubung Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja, Khairy sekali lagi menjelaskan pemberian akan dilakukan secara berjadual.

Katanya, walk-in hanya untuk remaja tidak bersekolah atau home schooling dan oleh itu ibu bapa yang anak mereka bersekolah tidak perlu bergegas ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sehingga berlaku kesesakan.

“Sudah berulang kali dinyatakan tiada walk-in untuk pelajar sekolah kerana mereka akan diberikan temu janji. Begitu juga datang ke PPV mengikut waktu ditetapkan.

“Bagi pelajar asrama, temu janji akan diberi melalui MySejahtera sama ada mereka divaksin di sekolah atau PPV berdekatan kediaman,” katanya.

Khairy pada masa sama memberi jaminan kepada para ibu bapa bahawa vaksin Pfizer yang diperoleh Malaysia cukup untuk diberikan kepada semua 3.2 juta remaja.

“Cuma kena tunggu giliran dan ia tak ambil masa berbulan-bulan kerana bekalan sudah pun ada.

“Kita juga minta Kementerian Pendidikan supaya cepat keluarkan jadual agar ibu bapa tak berasa khuatir dan resah kerana belum mendapat tarikh vaksinasi untuk anak-anak mereka,” jelasnya.

Sementara itu, Khairy menyeru WHO tampil menyatakan pendirian berhubung isu diskriminasi jenis vaksin.

Katanya, ini susulan keputusan sebahagian negara yang memberikan kelonggaran perjalanan serta kuarantin mengikut jenis vaksin.

Tegas beliau, sedangkan tidak sepatutnya kelonggaran itu dibuat berdasarkan jenis vaksin.

“Pendirian kita vaksin yang sudah mendapat kelulusan WHO perlu diiktiraf semua negara,” jelasnya.

Tambah beliau, sesuatu kelonggran ke atas penerima vaksin juga tidak harus dibuat berdasarkan jenis vaksin yang diambil kerana ia satu bentuk diskriminasi.

“Kelonggaran diberikan berdasarkan situasi semasa penularan dan kejayaan mengawalnya,” jelasnya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Sindiket potong minyak masak peket tumpas, 59 tan dirampas – KPDN

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menumpaskan satu rangkaian sindiket penyelewengan minyak masak peket bersubsidi yang...

More Articles Like This