Salah sebuah premis hiburan di Johor Bahru yang diserbu Polis Johor malam tadi.

PREMIS pusat hiburan adalah yang terakhir akan dibenarkan dibuka di bawah strategi kerajaan dalam menangani pandemik COVID-19.

Ini berikutan risiko jangkitan yang tinggi di premis tersebut selain tiada kena mengena dengan kepentingan kehidupan.

Namun realitinya, ada yang tidak menghiraukan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Misalnya, beberapa pengusaha dan pengunjung premis pusat hiburan di ibu negara dan Johor Bahru dikompaun kerana beroperasi dalam serbuan malam tadi hingga awal pagi ini.

Di KUALA LUMPUR, kompaun sebanyak RM580,000 dikeluarkan kepada 112 pengunjung sebuah pusat hiburan kerana melanggar SOP PPN.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kuala Lumpur, Datuk Azman Ayob berkata, kompaun sebanyak RM25,000 turut dikeluarkan kepada pemilik premis hiburan berkenaan.

“Kompaun ini dikeluarkan Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit PPN 3 2021 (Melakukan aktiviti terlarang dalam pub dan kelab malam) semasa tempoh Pelan Pemulihan Negara Fasa 3 bagi Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Azman berkata, enam didapati positif dadah dan ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Pihak polis juga telah merampas 43 botol minuman keras yang telah dibuka dan 37 botol masih belum dibuka mengikut Seksyen 76 Akta Eksais 1967.

“PDRM akan terus mempertingkatkan operasi seperti ini dari semasa ke semasa dalam merealisasikan usaha kerajaan menghentikan penularan Wabak COVID-19 di negara kita,” jelasnya.

Di JOHOR BAHRU, seramai 86 individu termasuk lelaki berpangkat Datuk dan dua penjawat awam, dikompaun antara RM2,000 hingga RM5,000 dalam serbuan di tiga pusat hiburan bandar raya itu.

Selain tiga individu berkenaan, 80 individu lagi termasuk pekerja dan pelanggan lain turut dikompaun dalam jumlah sama, manakala tiga penjaga premis pusat hiburan pula dikompaun antara RM10,000 hingga RM25,000.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata tiga serbuan berkenaan dilaksanakan menerusi Op Noda Pusat Hiburan bermula jam 1 pagi hingga 11 pagi tadi.

Katanya, serbuan berkenaan dijalankan pasukan Task Force Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Johor bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, dengan jumlah keseluruhan kompaun adalah RM357,000 dalam operasi awal pagi tadi.

“Tiga serbuan di pusat hiburan di bandar raya ini bermula jam 1 pagi di Stulang Laut, dengan 50 individu termasuk pelanggan pusat hiburan berkenaan diperiksa.

“Menerusi pemeriksaan yang dilakukan itu, seorang ahli perniagaan berpangkat Datuk dan dua penjawat awam ditahan dan dikompaun bersama pelanggan lain kerana melanggar SOP Fasa Tiga PPN.

“Seramai 29 pelanggan ditahan kerana didapati positif dadah, 10 wanita warga asing tiada dokumen perjalanan sah dan tinggal lebih masa manakala seorang penjaga premis turut ditahan.

“Terdahulu, serbuan turut dilakukan di sebuah pusat hiburan di Masai kira-kira jam 9.30 malam dengan 14 individu dikompaun RM2,000 kerana melanggar SOP, penjaga premis pula dikompaun RM10,000 manakala tiga pekerja warga asing yang tiada dokumen diri dan bekerja tanpa permit turut ditahan,” katanya dalam kenyataan seperti dilapor BH Online hari ini.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, serbuan turut dilakukan di sebuah pusat hiburan di pusat komersial mewah di Permas Jaya kira-kira jam 11 malam tadi, dengan 15 pelanggan dikompaun RM5,000 dengan penjaga premis pula dikompaun RM25,000.

Katanya, penjaga premis berkenaan turut ditahan mengikut Seksyen 25(n) Peraturan Pendaftaran Negara kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri ketika diperiksa.

“Polis Johor akan terus menjalankan operasi berterusan bagi memantau pusat hiburan di negeri ini dengan tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana mana-mana pusat hiburan atau pengunjung, berikutan operasi pusat hiburan masih belum dibenarkan untuk dibuka.

“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan pusat hiburan di negeri ini yang masih beroperasi mahu pun kegiatan pelacuran, boleh menyalurkan maklumat ke talian 07-2212999 atau 07-2254677,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram