RM32.4 bilion diperuntuk kepada KKM, kedua terbesar selepas KPM

Dari Penulis

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menerima peruntukan RM32.4 bilion dalam Bajet 2022 untuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, sebagai kerajaan yang mementingkan kesejahteraan rakyat, peruntukan bagi KKM adalah yang kedua terbesar selepas Kementerian Pendidikan.

“Peperangan kita dengan pandemik COVID-19 ini masih belum berakhir. Oleh itu, tambahan RM4 bilion disediakan khusus untuk meneruskan agenda menangani COVID-19 yang merangkumi RM2 bilion bagi membiayai program vaksinasi.

“RM2 bilion lagi disediakan bagi meningkatkan kapasiti fasiliti perkhidmatan kesihatan awam seperti pembelian bekalan ubat, bahan guna habis, PPE dan kit kesihatan,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Tengku Zafrul, dalam semangat Keluarga Malaysia, KKM juga telah menyumber luar ke hospital swasta dan hospital seliaan Kementerian lain bagi mengoptimumkan kapasiti kesihatan dalam negara.

Selanjutnya, kata beliau, bagi terus menang dalam melawan COVID-19, Kerajaan bercadang untuk melaksanakan perolehan ubat antiviral yang didapati berkesan terhadap pelbagai virus termasuk COVID-19.

“Yang utama sekali, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) akan terus diperkasa bagi membekalkan dos ketiga sebagai vaksin penggalak kepada semua orang dewasa di samping meneruskan vaksinasi kepada anak-anak
berusia 12 hingga 17 tahun.

“Kerajaan telah menandatangani perjanjian untuk mendapatkan 88 juta dos iaitu bersamaan lebih 140 peratus penduduk dan cukup untuk memberi dos ketiga kepada semua penduduk berusia 12 tahun dan ke atas,” jelasnya.

Tengku Zafrul pada masa sama merakamkan penghargaan kepada semua ahli Yang Berhormat yang sebulat suara meluluskan pindaan Akta untuk membenarkan kegunaan dana Kumpulan Wang Amanah Negara bagi membiayai perolehan vaksin COVID-19.

Dengan pindaan ini, katanya, Kerajaan akan membelanjakan sebaiknya bagi memenuhi keperluan vaksinasi dalam memulih semula dan membina daya tahan buat rakyat dan perniagaan.

“Bagi tahun hadapan, Kerajaan bercadang untuk memberikan pelepasan cukai individu dan potongan cukai kepada majikan ke atas kos berkaitan pengambilan vaksin penggalak yang dibiayai sendiri,” ujarnya.

Dalam ucapannya, Tengku Zafrul turut memaklumkan bagi memastikan kesiapsiagaan perkhidmatan kesihatan awam, Kerajaan akan bekerjasama dengan Persatuan Bulan Sabit Merah dan St John Ambulance untuk meningkatkan akses dan capaian respons perkhidmatan ambulans.

Katanya, Kerajaan juga telah bersetuju untuk menyambung pelantikan secara kontrak lebih 10,000 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi selepas tempoh khidmat wajib selama dua tahun kepada maksimum empat tahun bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan sebagai persediaan pengajian kepakaran mereka.

“Sebagai tambahan, sukacita diumumkan Kerajaan bersetuju meluluskan penajaan program kepakaran dengan peruntukan RM100 juta untuk manfaat 3,000 pegawai kontrak perubatan dan pergigian,” katanya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Jenazah suami Nancy Shukri diterbangkan ke Kuching hari ini

JENAZAH suami kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri iaitu Datuk Kamil Misuari akan diterbangkan...

More Articles Like This