KERAJAAN Malaysia dan Singapura bersetuju membuka semula sempadan secara berperingkat, selamat, sistematik dan mampan menerusi Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin Darat (VTL-Land) mulai Isnin depan.

KERAJAAN Malaysia dan Singapura bersetuju membuka semula sempadan secara berperingkat, selamat, sistematik dan mampan menerusi Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin Darat (VTL-Land) mulai Isnin depan.

Ia sejajar dengan pelancaran Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin udara antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, pada 8 November lalu.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan, pelancaran VTL-Land itu bertujuan untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala dan ekonomi antara kedua-dua negara.

Selain pekerja, kenyataan itu berkata, VTL-Land juga akan memberi peluang kepada rakyat Malaysia dan Singapura di kedua-dua belah tambak yang telah terpisah dengan keluarga akibat COVID-19 untuk bertemu semula orang tersayang.

Menurut kenyataan itu, pengembara wajib divaksinasi sepenuhnya manakala kanak-kanak di bawah umur 12 tahun yang tidak divaksinasi pula harus ditemani ibu bapa atau penjaga yang telah lengkap vaksin.

Namun begitu, pengembara yang layak adalah tertakluk kepada ujian COVID-19 dan keperluan kesihatan terperinci yang ditentukan negara masing-masing.

Baca artikel berkaitan: Malaysia, Singapura setuju lancar Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin

“Inisiatif VTL-Land dilaksanakan untuk melancarkan pergerakan merentas sempadan tanpa kuarantin yang mengintegrasikan protokol kesihatan, keselamatan dan kelulusan imigresen.

“Pengembara yang dibenarkan mengambil bahagian dalam VTL-Land adalah warganegara Malaysia dan Singapura termasuk penduduk tetap serta pemegang Pas Jangka Panjang Malaysia serta Singapura,” katanya dalam kenyataan itu hari ini.

Buat masa ini, Pejabat Perdana Menteri memberitahu, inisiatif tersebut akan dihadkan kepada pengangkutan bas sahaja sebagai mekanisme kawalan dengan mod pengangkutan lain akan disenaraikan secara berperingkat.

Katanya, perkhidmatan bas ditetapkan ke Singapura akan menggunakan Terminal Bas Larkin Sentral sebagai pusat turun dan naik penumpang di Malaysia manakala Terminal Queen Street sebagai pusat turun dan naik di Singapura.

Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, kerajaan kedua-dua negara juga telah bersetuju untuk menetapkan kuota harian tidak melebihi 1,500 pengembara pada peringkat permulaan dengan peningkatan dari minggu ke minggu.

“Pengembara yang masuk ke Malaysia menggunakan VTL-Land perlu mendaftar di https://mysafetravel.gov.my/ manakala pengembara dari Malaysia ke Singapura perlu membuat pendaftaran di https://go.gov.sg/vtl-portal.

“Pendaftaran ini adalah wajib sebelum sebarang pembelian tiket dibuat.

“Butiran tentang keperluan VTL-Land boleh didapati di https://www.miti.gov.my dan https://www.safetravel.ica.gov.sg/,” jelas Pejabat Perdana Menteri.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram