Long Tiger ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tangkak hari ini./ Gambar BERNAMA

ABDUL Hamim Ab Hamid atau ‘Long Tiger’ dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Tangkak hari ini atas pertuduhan melarikan diri dari tahanan polis, bulan lepas.

Lelaki berketurunan Myanmar itu mengaku bersalah ketika dihadapkan di hadapan Majistret, Zaridah Y Abdul Jaapar.

Mengikut pertuduhan, Abdul Hamim didakwa dengan sengaja melarikan diri daripada jagaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mana tertuduh telah ditahan secara sah di sisi undang-undang atas kesalahan di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan.

Memetik laporan Sinar Harian, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Mahkamah Majistret Tangkak di sini, kira-kira jam 11.55 pagi, pada 15 Disember 2021.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda atau keduanya sekali.

Baca: Sorok Long Tiger, lelaki berperwatakan wanita dipenjara lima bulan

[VIDEO] Long Tiger ditahan di rumah pondan, cuba lari dengan memanjat bumbung

Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa melarikan diri daripada lokap mahkamah dengan menggunakan alasan untuk membuang air besar dan telah meminta anggota polis yang ditugaskan untuk membuka gari.

Tertuduh kemudiannya mengambil kesempatan untuk lolos daripada tahanan ketika melihat pintu sel tidak berkunci dan bertindak melarikan diri keluar dengan menghala ke pintu utama mahkamah.

Ketika melarikan diri, tertuduh juga telah dikejar beberapa anggota polis, namun berjaya lolos dengan bersembunyi di kawasan semak-samun berhampiran mahkamah.

Tertuduh kemudian melarikan diri ke Sungai Petani, Kedah dan merancang untuk melarikan diri ke Indonesia atau Thailand.

Baca:Long Tiger rancang lari ke Thailand atau Indonesia

Dia bagaimanapun berjaya ditangkap polis dalam satu operasi pada 28 Disember lalu.

Dalam prosiding sama, mahkamah turut menetapkan tarikh 14 dan 16 Februari depan bagi bicara empat kes melibatkan Abdul Hamim iaitu mengikut Seksyen 388, 342 dan 506 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Tangkak.

Pendakwaan dikendalikan, Pengarah Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qaiyum Rahman.

Sementara itu, tertuduh pula diwakili peguam, Datin Freda Josephine Gonzales dan Muhammad Hariz Md Yusoff.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram