Kim Pan Gon.

PENGENDALI Korea Selatan, Kim Pan-gon sah dilantik sebagai ketua jurulatih baharu Harimau Malaya mengisi kekosongan yang ditinggalkan Tan Cheng Hoe sebelum ini.

Perkara itu dimaklumkan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin dalam sidang akhbar Mesyuarat Khas Pertama Jawatankuasa Eksekutif Penggal 2021-2025 FAM, hari ini.

Pan-gon, 53, berpengalaman luas dalam bidang kejurulatihan termasuk pernah memikul tugas selaku ketua jurulatih Hong Kong.

Nama bekas pemain Ulsan Hyundai yang kini merupakan Ketua Jawatankuasa Penyelia Skuad Kebangsaan Korea Selatan itu telah pun disebut-sebut sejak beberapa hari lalu.

Menurut Hamidin, Pan-gon akan membawa bersama empat ‘orang kuat’ iaitu penolong jurulatih dan teknikal, jurulatih penjaga gol, jurulatih fizikal dan penganalisis dengan kontrak selama dua tahun serta lanjutan dua tahun lagi sekiranya prestasi memuaskan.

Kata beliau, barisan jurulatih baharu Harimau Malaya itu akan tiba Februari ini.

Beliau memaklumkan, FAM telah menerima banyak permohonan daripada seluruh dunia selepas jawatan tersebut kosong, namun pihaknya telah menetapkan beberapa ciri termasuk memahami budaya bola sepak Malaysia.

“Selepas peletakan jawatan Cheng Hoe, pihak Pengarah Teknikal bersama Pengerusi Jawatankuasa Teknikal telah bermesyuarat banyak kali untuk membincangkan tentang jurulatih baharu.

“Kita letakkan beberapa kategori antaranya pemahaman tentang bola sepak Malaysia, ada lesen profesional, jaringan antarabangsa dan tahu siapa musuh Malaysia.

“Maksudnya beliau tahu kita akan bermain menentang pasukan di Asia Tenggara dan Asia kerana sasaran kita untuk meningkatkan kualiti dari segi itu,” katanya.

Baca artikel berkaitan: Cheng Hoe letak jawatan Ketua Jurulatih Harimau Malaya

Mengulas lanjut, Hamidin menegaskan FAM telah membuat kajian menyeluruh sebelum membuat keputusan melantik Pan-gon, bukan secara ‘tangkap muat’ atau mengikut trend pasukan Asia Tenggara lain seperti Indonesia dan Vietnam yang juga menggunakan jurulatih dari Korea Selatan.

Bagaimanapun, beliau mengakui pelantikan jurulatih baharu itu tidak akan menyelesaikan prestasi pasukan Harimau Malaya secara keseluruhannya.

Menurut Hamidin, FAM dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) perlu duduk semeja untuk memastikan kualiti pemain dapat ditingkatkan sekali gus memberi impak kepada kualiti skuad kebangsaan.

“Kita telah buat kajian menyeluruh, secara tak langsung pada ketika ini beliau antara yang terbaik.

“Mana-mana yang kita pilih sebagai jurulatih belum menjanjikan tetapi daripada segi penilaian beliau adalah antara yang bersedia dan kedudukan tertinggi.

“Beliau paling layak ketika ini untuk nak naikkan Malaysia di peringkat ASEAN dan Asia,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram