Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin. GAMBAR: Abd Razak Aid

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin memaklumkan beliau mungkin tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan datang.

Menjelaskan perkara tersebut, Muhyiddin yang merupakan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir berkata, keputusan ini diambil kerana mahu memberi peluang kepada pemimpin lain di Johor bertanding.

“Saya mungkin tidak akan bertanding. Ini terserah kepada pimpinan tentukan (calon).

“Saya mahu tumpukan sepenuh masa kepada yang lebih utama iaitu Parlimen, menguruskan parti pada peringkat pusat dan menyampaikan mesej perjuangan kita.

“Jadi saya mahu bagi peluang kepada tokoh di Johor dan terserah kepada merekalah siapa yang mahu diisi, kita akan putuskan nanti,” kata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu hari ini.

Beliau ditemui media sebelum mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu di Shah Alam hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 2018, Muhyiddin menang di DUN Gambir selepas memperoleh majoriti 3,088 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk M Asojan serta calon Pas, Datuk Dr Mahfodz Mohamed.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, PN akan meletakkan calon di kesemua 56 kerusi DUN yang dipertandingkan di Johor.

Katanya, perkara itu adalah pendirian PN setakat ini selepas perbincangan dengan semua parti terlibat.

“Kalau setakat hari ini begitulah (tanding semua kerusi DUN Johor). Kita belum berjumpa PN secara semua tapi pandangan pimpinan parti gabungan begitulah,” katanya. 

Baca: Tawar hanya empat kerusi dalam PRN Johor ‘bukan cara baik’ – Tuan Ibrahim

Bersatu adakan mesyuarat khas bincang PRN Johor hari ini

Pada masa sama, Muhyiddin berkata, Pas tetap bersama PN.

“Peringkat awal ini persiapan telah bermula dan nampaknya hubungan kerjasama antara parti-parti seperti Pas memang sah dan istiqamah bersama PN, manakala dengan Gerakan dan parti-parti yang ada di Sabah tiada masalah,” ujarnya. 

Ditanya pandangan keperluan meletakkan lebih ramai calon dalam kalangan anak muda, Muhyiddin berkata:

“Ya memang kita nak bagi peluang sebab saya faham masa sekarang masa anak-anak muda.

“Tetapi gabungan antara anak muda muda dan lama agak wajar. Tidak ada satu parti yang letak muda saja atau matang saja,” jelas Ahli Parlimen Pagoh itu.

Tambah beliau, namun ketika ini soal calon belum muktamad dan senarai calon akan dikemukakan sayap-sayap parti dan parti gabungan PN yang lain.

“Dan aspek (calon anak muda) memang kita akan bagi perhatian,” ujarnya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram