Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin GAMBAR: Abd Razak Aid

KEPUTUSAN Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk tidak mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disifatkan tidak akan menjejaskan prestasi atau memberi kesan negatif kepada gabungan itu.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Mohd. Solihan Badri berpendapat, keputusan dilakukan Muhyiddin itu adalah kerana Ahli Parlimen Pagoh itu mahu memberi tumpuan dan komitmen memperkasakan jentera parti bagi menewaskan Barisan Nasional (BN).

Tanpa terikat sebagai calon, Mohd. Solihan berkata, bekas Perdana Menteri itu boleh memberi fokus sepenuhnya kepada tugas pengurusan dan operasi jentera PN di seluruh Johor.

Menurut beliau, Bersatu Johor yakin sebagai ahli politik dan pemimpin parti yang berpengalaman mengarahkan pengurusan pilihan raya kecil (PRK), PRN serta pilihan raya umum (PRU), Muhyiddin mampu memberi kemenangan kepada calon-calon PN, kali ini.

“Muhyiddin berpendirian bahawa dominasi kerajaan BN mesti ditamatkan dan UMNO yang menjadi teras gabungan itu tidak lagi mampu bangkit selama-lamanya selepas PRU-15 akan datang.

“Keputusan beliau juga tidak menjejaskan prestasi atau memberi kesan negatif sebaliknya mampu menggandakan pengukuhan dan kekuatan jentera parti.

“Justeru, apabila tidak lagi terikat sebagai calon, Muhyiddin mempunyai lebih banyak masa untuk fokus kepada perancangan strategi dan tindakan-tindakan untuk memperkukuh peluang calon PN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: PRN: “Saya mahu bagi peluang tokoh lain” – Muhyiddin

Semalam, Muhyiddin ketika ditemui media sebelum mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu memaklumkan beliau mungkin tidak akan bertanding pada PRN Johor akan datang.

Menjelaskan perkara tersebut, Muhyiddin berkata, keputusan itu diambil kerana mahu memberi peluang kepada pemimpin lain di Johor.

Mengulas mengenai DUN Gambir, Mohd. Solihan yang juga Ketua Bahagian Bersatu Ledang memaklumkan Muhyiddin telah meminta kepemimpinan bahagian menyerahkan senarai calon yang berkelayakan kerana kerusi DUN tersebut terletak dalam bahagian itu.

“Saya sebagai Ketua Bahagian Bersatu Ledang telah mengenal pasti calon yang sesuai untuk menggantikan Muhyiddin di DUN Gambir kerana calon ini mempunyai kelayakan selain mendapat sokongan dan diterima akar umbi,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram