KONTROVERSI pelakon Zul Ariffin yang memuat naik sedutan babak panas diibaratkan seperti adegan lucah pada Sabtu lalu semakin mendapat perhatian serta kritikan umum.
Sebagai rakan dalam industri seni, pelakon terkenal Fasha Sandha dan Nad Zainal tampil menyuarakan pendapat peribadi mereka berkaitan tindakan memalukan aktor itu.
Menurut Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan, 38, dia percaya bahawa setiap tindakan oleh seorang pelakon mempunyai asbab yang tersendiri.
Sebagai langkah berjaga-jaga, isteri kepada pelakon Aidil Aziz itu memilih untuk tidak mengulas dengan lebih terperinci berkaitan isu tersebut demi menjaga nama baik industri seni.
“Sudah tentu setiap drama memerlukan promosi, tapi untuk isu-isu yang tengah berbangkit sekarang ini, saya tiada komen berkaitan perkara tersebut.
“Saya tak tahu nak komen apa, takut disalah ertikan sebab setiap orang ada alasan tersendiri dan disebabkan itulah saya tidak boleh nak komen secara berlebihan,” katanya kepada URTV.
Bagi pelakon Nad Zainal pula, kejadian tersebut akan memberi pengajaran kepada penggiat seni yang lain untuk lebih berhati-hati dalam memilih babak dalam lakonan.
“Kita risau sebab perkara ini kadang-kadang kita terlepas pandang. Apa yang kawan-kawan kita buat mungkin sebab sifat keterujaan untuk kongsikan kepada orang ramai.
“Kadang-kadang disebabkan terlampau teruja kita lupa ada perasaan yang kita kena jaga. Ini adalah pengajaran buat kami juga untuk lebih berhati-hati selepas ini,” ujarnya.
Fasha dan Nad berkata demikian ketika ditemui pada majlis Tayangan Perdana Program Ramadan Astro di The Linc, Kuala Lumpur, semalam.
Terdahulu, kecoh di media sosial apabila perkongsian video aksi panas oleh Zul Ariffin yang dilihat mendukung pelakon baharu Siti Hariesa dianggap keterlaluan dan tidak sesuai untuk ditayangkan kepada umum.
Babak itu turut mendapat respon Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad malah, Zul turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Dalam perkembangan lain, Fasha dan Nad sedang sibuk dalam penggambaran drama Dendam Seorang isteri yang di adaptasi daripada drama bersiri Korea popular berjudul ‘Temptation of Wife’.
“Kita harapkan penonton puas hati dengan apa yang kami cuba berikan kerana drama ini ramai pengikut dan banyak versi.
“Kami agak takut kerana orang akan bandingkan dengan versi yang lain dan kami harus memikul tanggungjawab besar sebab kami wakil daripada Malaysia,” tambah Nad.
Menerusi drama itu, Fasha memegang watak sebagai Amira dan Nad sebagai Kirana. Drama tersebut telah mula ditayangkan pada 21 Mac lalu, setiap isnin hingga jumaat, pukul 6.00 petang di Astro Prima.

