WILAYAH Persekutuan Labuan merupakan negeri berada di tahap ‘sangat bahagia’ manakala Selangor pula berada di tangga terbawah pada tahap ‘sederhana bahagia’.
Itu merupakan dapatan Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia (MHI) 2021 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan, hari ini.
Secara keseluruhan, prestasi markah MHI negara pada tahun 2021 adalah ‘bahagia’ apabila merekodkan skor 6.48 daripada maksimum 10.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, laporan berasaskan Survei Kebahagiaan Rakyat Malaysia 2021 itu dilaksanakan untuk mengukur tahap kebahagiaan daripada aspek fizikal, sosial, emosi dan spiritual.
Mohd. Uzir memberitahu, komponen tertinggi iaitu keluarga yang merekodkan 7.23 menjadi penyumbang utama dengan responden memilih skala bahagia dan sangat bahagia.
Menurut beliau, kesemua komponen Labuan iaitu penggunaan masa; keluarga; amalan kerohanian; keselamatan awam; kemudahan komunikasi; perumahan dan alam sekitar; persekitaran kerja; kesihatan; penyertaan sosial; kebudayaan; pendapatan dan pendidikan berada pada tahap sangat bahagia.

Baca artikel berkaitan: RM83.2 juta diperuntuk bina, baik pulih PPRT Sabah, Labuan – Mahdzir

Hanya komponen pengalaman emosi Labuan berada pada tahap bahagia iaitu 7.58.
“Dua lagi Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur dan Putrajaya masing-masing berada pada kedudukan kedua dan ketiga.
“Kuala Lumpur merekodkan tahap bahagia dengan markah 7.77 manakala Putrajaya 7.28.
“Selangor pula berada di tangga terbawah indeks kebahagiaan apabila mencatatkan 5.73, namun masih pada tahap ‘sederhana bahagia’,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Uzir memaklumkan, rakyat Malaysia masih berada pada tahap bahagia walaupun negara berhadapan dengan cabaran pandemik COVID-19 dan krisis ekonomi tahun lalu.
Kata beliau, senario itu mungkin akan berbeza pada kajian akan datang.
“Penemuan survei ini juga menunjukkan tidak wujud jurang ketara antara strata, etnik, kumpulan umur, jantina, pencapaian pendidikan dan taraf perkahwinan dalam mengukur tahap kebahagiaan rakyat Malaysia,” jelas beliau.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

