Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim GAMBAR: Abd Razak Aid

“SAYA mahu jawapan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengapa dilengahkan tindakan (selama) puluhan tahun terhadap Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Menteri Pertahanan yang bertanggungjawab.”

Persoalan itu dibangkitkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu skandal dakwaan penyelewengan kapal tempur pesisir (LCS) yang hangat diperkatakan ketika ini.

Dalam video yang dimuat naik ke akaun Facebook miliknya, Anwar yang juga Ketua Pembangkang turut mengucapkan tahniah kepada SPRM yang telah memulakan tindakan mengenai isu berkenaan.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Port Dickson itu menegaskan tidak percaya bahawa keputusan perolehan LCS yang melibatkan bilion ringgit itu tidak melibatkan tokoh-tokoh politik.

“Saya ucap tahniah kerana SPRM memulakan (tindakan) tapi saya nak ingatkan, ini soal rakyat, bukan lagi soal dua tiga isu teknikal.

“Nak tekan, nak ambil tindakan jangan di peringkat bawah sahaja. Ya, kalau mereka bertanggungjawab, harus (dikenakan tindakan).

“Tapi saya tak percaya satu keputusan melibatkan bilion ringgit itu tidak melibatkan tokoh-tokoh politik besar,” katanya dalam video tersebut.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, pendakwaan berhubung kes LCS di mahkamah hari ini jelas membuktikan apa yang disuarakannya selama ini adalah benar.

“Ada beberapa kalangan ‘macai-macai’ nak pertahankan rasuah besar-besaran yang merompak harta rakyat.

“Ini tak boleh dipandang ringan, kalau dalam satu negara di mana rasuah besar mahu dipertahankan, kes 1MDB dipertahankan, kes LCS dipertahankan, seolah-olah tiada kecurangan berlaku,” jelas beliau.

Baca artikel berkaitan: LCS: Bekas Pengarah Urusan BNS didakwa pecah amanah RM21 juta

Pagi tadi, bekas Pengarah Urusan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan pecah amanah dana syarikat itu berjumlah RM21.08 juta berhubung projek pembinaan LCS bagi perolehan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Ahmad Ramli, 78, yang juga bekas Panglima Tentera Laut mengaku tidak bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

“Saya faham, saya mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan,” katanya.

Mengikut pertuduhan pertama, Ahmad Ramli sebagai pengarah urusan BNS yang diamanahkan dengan penguasaan dana syarikat itu telah melakukan pecah amanah ke atas harta tersebut dengan meluluskan pembayaran berjumlah RM13,541,140 ke akaun Syarikat Setaria Holding Limited, Standard Chartered Bank, 6 Battery RD, Singapura tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah BNS.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di BNS, tingkat 17, Menara Boustead, Jalan Raja Chulan, antara 26 Julai 2010 dan 25 Mac 2011.

Bagi pertuduhan kedua, Ahmad Ramli dituduh melakukan pecah amanah dengan meluluskan pembayaran berjumlah RM1,360,716 ke akaun Syarikat JSD Corporation, The Overseas-Chinese Banking Corporation Limited, Chulia Street, OCBC Centre, Singapura tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah BNS di lokasi sama antara 19 April 2011 dan 4 Mei 2011.

Dia juga didakwa atas kesalahan serupa dengan meluluskan pembayaran berjumlah RM6,182,295 ke akaun Syarikat Sousmarin Armada Ltd, Standard Chartered Bank, 6 Battery Road, Singapura di tempat sama antara 28 Okt 2010 dan 22 Nov 2010.

Ketiga-tiga pertuduhan itu mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari dua tahun dan tidak lebih dari 20 tahun dengan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram