Kapal tempur pesisir (LCS) sewaktu upacara penamaan pada tahun 2017. GAMBAR: Bernama

Bekas Panglima Angkata Tentera Laut, Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor dijangka didakwa di mahkamah hari ini atas tuduhan pecah amanah jenayah berjumlah lebih RM20 juta berhubung skandal kapal tempur pesisir (LCS).

Ahmad Ramli, 78 tahun, adalah bekas pengarah urusan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), syarikat yang membina enam kapal yang masih belum dihantar.

Memetik laporan The Star, beliau akan menghadapi sekurang-kurangnya tiga pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di Jalan Duta.

Ahmad Ramli dijangka didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah amanah jenayah membabitkan dana BNS.

Beliau didakwa telah meluluskan pembayaran tanpa persetujuan lembaga pengarah syarikat.

Satu daripada pertuduhan melibatkan pembayaran kira-kira RM13 juta kepada Setaria Holdings Limited, yang dilakukan tanpa kelulusan lembaga BNS.

Untuk rekod, Ahmad Ramli dilantik sebagai panglima Tentera Laut pada Oktober 1996.

Beliau bersara pada 1998 selepas berkhidmat dengan Tentera Laut Diraja Malaysia selama 35 tahun.

Pada 4 Ogos, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen mendedahkan sejumlah RM1.4 bilion peruntukan kerajaan untuk projek LCS telah digunakan untuk tujuan lain, termasuk lebihan kos.

Baca artikel berkaitan: Skandal LCS: Bekas pegawai kanan BNS akan didakwa esok

Siasatan selama dua tahun oleh PAC juga mendedahkan projek bernilai RM9 bilion itu dilakukan melalui rundingan terus dengan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd dan telah ditandatangani pada 2014.

Ahmad Ramli adalah satu daripada dua nama yang terlibat dan disebut berulang kali dalam laporan PAC.

Susulan laporan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyegerakan siasatan terhadap kes LCS.

Perdana Menteri turut memberitahu Peguam Negara untuk mendakwa pihak yang bertanggungjawab sekiranya terdapat cukup bukti.

Perdana Menteri berkata, Kabinet juga telah memutuskan dua laporan penyiasatan peringkat tinggi, termasuk satu oleh jawatankuasa penyiasatan tadbir urus, perolehan dan kewangan, didedahkan kepada umum.

Manakala laporan audit forensik mengenai projek yang dijalankan pada 2019, akan dinyahklasifikasikan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram