SEORANG penunggang motosikal maut selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya membabitkan kenderaannya dan tiga lori di KM206.7 Lebuhraya Plus arah selatan di sini tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Arshad Abu berkata dalam kejadian kira-kira pukul 12.40 tengah malam itu, peniaga burger Rosli Yaakob, 39, yang mengalami kecederaan di keseluruhan badan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Siasatan awal mendapati kesemua kenderaan terlibat dari arah Utara dan kemalangan berlaku di lorong kiri apabila lori pertama yang membawa muatan bungkusan memperlahankan kenderaan dengan menyalakan lampu kecemasan kerana terdapat pembinaan jalan di lorong paling kanan.
“Lori kedua dalam perjalanan ke Melaka yang membawa sangkar ayam dari arah yang sama turut memperlahankan kenderaan dengan menyalakan lampu kecemasan namun datang lori ketiga yang terus melanggar belakangnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Arshad berkata setelah pelanggaran itu, lori yang membawa sangkar ayam tersebut mengelongsor ke depan, melanggar belakang lori yang membawa muatan bungkusan manakala lori ketiga itu terhenti tanpa sebarang lampu di lorong paling kiri selain pemandunya tersepit dalam kenderaan.
Baca lagi: Seorang maut dalam kemalangan dua buah kereta
Beliau berkata apabila lori ketiga itu berhenti tanpa lampu isyarat dan papan tanda amaran di belakang, kelindan lori sangkar ayam telah menjaga laluan dengan menggunakan isyarat lampu telefon bimbit di lorong kecemasan.
“Dan datang motor berwarna merah jenis Benelli ditunggangi mangsa melanggar kelindan warga Bangladesh berumur 39 tahun tersebut seterusnya melanggar belakang lori yang ketiga itu.
“Pemandu lori ketiga berumur 29 tahun dan kelindan yang mengalami kecederaan dibawa ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan manakala dua lagi pemandu lori tiada sebarang kecederaan,” katanya.
Beliau berkata mayat penunggang motosikal itu telah dibawa ke Hospital Alor Gajah dan kes diklasifikasi di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ ) 1987.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

