PADA sebelah pagi tadi, peguam utama Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes rayuan akhir sabitan penyelewengan dana SRC International memaklumkan pihak pembelaan memfailkan permohonan supaya Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menarik diri daripada prosiding.
Alasan yang diberi berkait hantaran Facebook Zamani Ibrahim yang dipercayai suami kepada Tengku Maimun.
Seterusnya ketika hujahan peguam Najib, Hisyam Teh Poh Teik bermula kira-kira 10 minit mengapa Tengku Maimun perlu menarik diri, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pula muncul.
Peguam jenayah terkemuka negara itu yang digugurkan oleh Najib sebelum ini memaklumkan beliau kini kembali dalam pasukan pembelaan Ahli Parlimen Pekan itu bagi membantu Hisyam.
Malah, media melaporkan yang Shafee mengambil alih sesi hujahan berhubung permohonan menggantikan panel hakim yang baharu.
Baca: Muhammad Shafee kembali dalam pasukan peguam Najib
Permohonan Ketua Hakim tarik diri: Shafee minta tangguh esok, tapi mahkamah tolak
Beliau juga memohon penangguhan sehingga pagi esok yang kemudian ditolak selain turut dibantah oleh pasukan pendakwaan diketuai Datuk V. Sithambaran.

Mahkamah yang kembali bersidang petang ini selepas tiga jam ditangguhkan kemudian memutuskan menolak permohonan pembelaan Najib untuk menukar Ketua Hakim Negara dan panel hakim.
Tengku Maimun yang membaca keputusan itu berkata, panel Hakim Mahkamah Persekutuan mendapati tiada sebab yang kuat mengapa beliau perlu menarik diri daripada prosiding rayuan akhir Najib.
Baca: Permohonan supaya Ketua Hakim tarik diri: Najib bangkit hantaran FB Zamani
Rayuan SRC: Najib mahu Ketua Hakim Negara tarik diri
Tengku Maimun dalam keputusannya berkata, mahkamah mendapati permohonan itu gagal menunjukkan terdapat bahaya yang nyata bahawa ia akan menyebabkan berat sebelah.
Menurut Tengku Maimun, tidak ada kaitan antara hantaran Facebook yang dimuat naik oleh suaminya dengan rayuan Najib di hadapan mahkamah.
“Hantaran ini dimuat naik empat tahun lepas,” katanya seperti dilapor Bernama.
Tengku Maimun berkata berdasarkan hantaran Facebook yang dimuat naik oleh suaminya (Datuk Zamani Ibrahim) dan ‘Walk for Justice’ anjuran Majlis Peguam, beliau berpandangan bahawa ini tidak bermakna ambang berat sebelah dalam perundangan telah dilepasi.
“Tindakan menggugurkan seorang hakim adalah bahaya sebenar berlakunya berat sebelah. Pada pendapat saya, ujian berhubung perkara ini belum dibuktikan. Hantaran Facebook oleh suami saya tidak terjumlah kepada bahaya sebenar berlakunya berat sebelah,” katanya.
Beliau berkata hantaran Facebook itu dibuat empat tahun lepas semasa kes itu belum berlaku.
“Pandangan itu dinyatakan oleh pihak ketiga (oleh pasangan) dan surat yang dikeluarkan oleh mahkamah untuk membenarkan para peguam menyertai Walk of Justice bukanlah satu permulaan,” katanya.
Abang Iskandar turut mengulangi bahawa panel itu menolak permohonan untuk menggugurkan Tengku Maimun kerana sewaktu hantaran Facebook suaminya dimuat naik, kes tersebut belum bermula.
Prosiding rayuan akhir Najib didengar oleh panel lima hakim diketuai Tengku Maimun.
Turut bersidang Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd.

