SELEPAS dilantik kembali dalam pasukan peguam Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengemukakan permohonan agar Mahkamah Persekutuan menangguhkan perbicaraan kepada pagi esok.
Memetik laporan Malaysiakini, Muhammad Shafee dalam hujahnya berkata, penangguhan yang dipohon itu perlu bagi membolehkan dia membuat persediaan mencukupi bagi penghujahan lisan mengenai cubaan Najib mengetepikan Tengku Maimun.
Beliau juga memaklumkan, kehadirannya bagi membantu pasukan pembelaan Najib yang kini diketuai Hisyam Teh Poh Teik.
Hisyam pula sebelum ini membuat permohonan untuk menarik diri daripada mewakili tertuduh.
Baca: Muhammad Shafee kembali dalam pasukan peguam Najib
Permohonan supaya Ketua Hakim tarik diri: Najib bangkit hantaran FB Zamani
Muhammad Shafee juga menafikan pernah cuba melengah-lengahkan prosiding mahkamah.
Bagaimanapun, usaha Muhammad Shafee untuk menangguhkan prosiding memohon Ketua Hakim tarik diri gagal.
Laporan awal Bernama memaklumkan, sebaliknya mahkamah mengarahkan Hisyam meneruskan hujah rayuan Najib.
Tengku Maimun menolak permohonan itu atas alasan tiada sebab untuk menangguhkan prosiding penarikan diri beliau daripada mendengar rayuan Najib dan meminta Hisyam meneruskan hujahannya.
Muhammad Shafee kemudian menyoal “Bolehkah saya kembali esok?”
Tengku Maimun berkata terpulang kepada peguam itu sama ada beliau ingin kembali esok.
“Jika kita teruskan hari ini, semuanya akan selesai hari ini. Tiada alasan untuk kamu (Muhammad Shafee) kembali esok. Malah, tiada siapa perlu kembali esok,” kata Ketua Hakim Negara itu seperti dilapor Bernama.
Hisyam kemudian meneruskan hujahan beliau mengenai permohonan agar Tengku Maimun menarik diri daripada mendengar rayuan kes SRC Najib.
Mahkamah menangguhkan sementara prosiding hari ini untuk membincangkan permohonan Najib berhubung penarikan diri Tengku Maimun.
Terdahulu, Muhammad Shafee tiba di Istana Kehakiman pada 11.15 pagi dan dilihat meninggalkan kompleks mahkamah pada kira-kira 11.45 pagi.

