PENGANJURAN Kejohanan Menembak Piala DSS 2022 yang diadakan di Putrajaya hari ini disifatkan wadah penting bagi meningkatkan kemahiran dalam disiplin menembak.
Kejohanan selama satu hari diadakan di Kelab Menembak Sasaran Shapadu (KMSS) itu berjaya menarik penyertaan seramai 100 peserta merangkumi agensi penguatkuasaan dan orang perseorangan.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan Shapadu, Dato’ Sri Shafiz Shahrani berkata, kejohanan tersebut juga menyerlahkan kemahiran serta latihan kepada penembak berlesen di negara ini.
Menurut beliau, sukan menembak sebenarnya mempunyai seni dan taktikal yang mempunyai strategi dan kaedah tersendiri, bukannya seperti apa yang dipaparkan dalam filem.
Beliau berkata, Piala DSS 2022 itu mengambil sempena kata pangkal don’t simply shoot (jangan tembak melulu) supaya tembakan itu mengenai sasaran.
“Bagi pencinta sukan menembak, pembinaan sahsiah diri kita adalah amat mustahak. Bagi pelesen A seperti saya dan sahabat lain, kita harus mengambil satu jati diri dah sahsiah kukuh sebagai pemegang lesen senjata api.
“Tak kira di mana kita berada, kita cintakan sukan menembak ini dan kita mahu membangunkannya, jadi sebab itu KMSS mewujudkan Piala DSS ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Piala DSS 2022 di KMSS, Putrajaya, hari ini.

Baca artikel berkaitan: [VIDEO] Kain rentang guru protes: KPM teliti, buat siasatan mendalam
Majlis tersebut dirasmikan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin.
Mengulas lanjut, Shafiz berkata, kejohanan menembak Piala DSS 2022 itu akan menjadi acara tahunan KMSS pada tahun-tahun akan datang.
Atas dasar itu, kata beliau, sokongan semua pihak tidak kira dari pihak kerajaan, agensi atau orang perseorangan amat penting bagi meningkatkan imej sukan berkenaan.
“Setakat ini maklum balas daripada peserta amat memberangsangkan, kami berharap dapat mengangkat imej sukan menembak ke paras lebih baik lagi,” jelas beliau.
Sementara itu, Radzi berkata, kehadirannya di majlis tersebut sebagai satu manifestasi bahawa ilmu tidak mengira usia kerana kecenderungan dalam perkara yang diminati memerlukan pengetahuan.
Katanya, penyertaan daripada pelbagai pihak dan agensi dari seluruh negara sekali gus menunjukkan minat dalam sukan menembak semakin meningkat hari demi hari.
“Sebagai seorang yang masih baru dalam bidang menembak dan masih belajar, pada usia berapa pun belum terlambat untuk kita belajar apa sahaja bidang ilmu.
“Bidang ini juga mengutamakan satu disiplin yang tinggi.
“Apa yang penting adalah gambaran kepada umum bahawa tak kira usia berapa pun, kita perlu mengambil peluang mendalami ilmu,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

