“TAK timbul (masalah) pun siapa nak bertanding di mana sahaja kerana ini negara demokrasi.”
Itu kata Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin membalas kenyataan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang secara sinis bertanyakan siapa Radzi.
Ia susulan ura-ura Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu akan diletakkan di Putrajaya bagi merampas kerusi itu daripada Barisan Nasional (BN).
Menurut Radzi, tiada siapa yang boleh mempersoalkan sesiapa kerana individu yang cukup kriteria boleh bertanding di mana sahaja.
Bagaimanapun, Radzi sekali lagi menepis desas-desus akan bertanding di Parlimen Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Katanya, beliau hanya mengikut keputusan parti dan bersedia memberi khidmat di mana sahaja kerusi yang diletakkan.
“Negara demokrasi ini tak timbul siapa nak bertanding di mana kerana sebuah negara, apabila cukup syarat dan kriteria serta jika itu keputusan parti, maka sesiapa sahaja boleh bertanding di mana-mana, tiada siapa boleh persoalkan siapa.
“Namun begitu, tentang pertandingan di Putrajaya ini, pandangan saya amat mudah, saya orang parti dan apa sahaja yang dinyatakan parti itu yang saya ikuti,” katanya.
Baca artikel berkaitan: Piala DSS 2022: KMSS serlahkan lokasi penganjuran terbaik
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Menembak Piala DSS 2022 di Kelab Menembak Sasaran Shapadu (KMSS), Putrajaya, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Shapadu, Dato’ Sri Shafiz Shahrani.
Dalam pada itu, Radzi menegaskan Perikatan Nasional (PN) bersedia untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan dalam PRU-15 akan datang.
Kata beliau, itu yang dinyatakan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam menyentuh tentang kerjasama dengan pihak lain.
“Kita bersedia tiga, empat atau lima penjuru sekali pun, nama pun pertandingan. Itulah pegangan seperti mana disebut Muhyiddin.
“Apa yang paling penting adalah untuk kita pastikan dalam PRU-15 nanti, PN dapat melakukan yang terbaik.
“Kalau boleh kita ingin pastikan kita mendahului semua parti lain dalam konteks kemenangan,” jelas beliau.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

