KERAJAAN mengambil inisiatif untuk memperkasa strategi menghadapi bencana banjir sejajar dengan fasa peralihan Monsun yang akan bermula pertengahan September sehingga November ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ketika ini, seramai 79,549 pegawai dan anggota agensi keselamatan serta penyelamat di semua peringkat berada dalam keadaan bersiap siaga sepenuhnya dengan sokongan pelbagai aset.
Jelas beliau, dalam usaha memantapkan kesiapsiagaan Keluarga Malaysia, sebanyak 155 program Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM) yang melibatkan 12,534 perserta yang terdiri daripada ketua-ketua komuniti, belia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Bagi aspek pengurusan mangsa, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah bersiap sedia untuk mengaktifkan 6,010 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negara yang mempunyai kapasiti menempatkan 1,620,855 mangsa.
“Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2.59 juta untuk menaik taraf kemudahan asas dan fasiliti di semua PPS seperti penyediaan bilik mandi serta tandas,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) hari ini.
Turut hadir dalam mesyuarat itu adalah Ketua Setiausaha Negara, Menteri Besar/Ketua Menteri, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Setiausaha Kerajaan Negeri selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) serta agensi terlibat.
Baca lagi:Bencana banjir akibatkan kerugian mencecah RM6.1 bilion
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diarahkan supaya asrama-asrama sekolah yang tidak dihuni pelajar ketika bencana berlaku digunakan oleh orang ramai yang terjejas khususnya untuk memberi keselesaan kepada warga emas, anak-anak kecil dan wanita.
Selain itu, katanya, JKM juga perlu menyediakan makanan retort dalam tempoh 24 jam pertama, keperluan bayi dan warga emas seperti lampin pakai buang untuk mangsa bencana yang dipindahkan ke PPS.
Ujar beliau, NADMA juga telah mengagihkan sebanyak 59,350 kit makanan dan 127,272 buah cubicle tent bagi memastikan kelancaran pengurusan penempatan di PPS dan kebajikan mangsa apabila berlakunya bencana.
Menurut Perdana Menteri, sebanyak RM8 juta diperuntukkan untuk Pengurusan Pengoperasian Bencana MTL 2022/2023 kepada JPBN untuk kegunaan 160 daerah.
“Kerajaan turut memperuntukan sebanyak RM4.8 juta bagi menyediakan 320 buah bot fiber bersama dengan enjin untuk daerah-daerah terbabit sebagai usaha memperkasa peranan komuniti sebagai initial responder ketika berlakunya bencana.
“Kerajaan juga menggerakkan 22,622 aset air seperti bot, treler bot dan jet ski milik semua agensi dari seluruh negara untuk menghadapi musim monsun ini.
“Semua aset-aset ini perlu dikoordinasi dengan sebaik mungkin supaya kerja-kerja menyelamat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.
Perdana Menteri menambah, JPBN dan JPBD juga perlu memastikan sistem amaran awal bencana terutama di lokasi yang sering dinaiki air berfungsi dengan baik.
Katanya, mesyuarat juga bersetuju supaya bunyi amaran awal berbeza dengan bunyi siren yang lain seperti ambulans dan kereta peronda polis bagi mengelakkan kekeliruan.
Jelas beliau, pengumuman berpindah akan turut dibuat oleh pihak berkuasa dari semasa ke semasa melalui sistem pembesar suara.
“Seluruh Keluarga Malaysia khususnya yang tinggal di kawasan rendah dan terdedah dengan risiko banjir diminta supaya sentiasa peka dengan amaran awal bencana dan berpindah dengan kadar segera sekiranya mendapat arahan daripada pihak berkuasa.
“Semua agensi terlibat khususnya di peringkat negeri dan daerah (lokasi bencana) diarah supaya memastikan kelancaran bantuan kepada Keluarga Malaysia yang terjejas dengan penyelarasan komunikasi yang cekap dan berkesan,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

