Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Tun Dr Mahathir Mohamad GAMBAR: Abd Razak Aid

PEMIMPIN dan ahli Gerakan Tanah Air (GTA) dijamin bersih daripada segala jenayah dan tidak berkepentingan peribadi serta mewakili golongan pencinta negara. 

Jaminan itu disuarakan Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang turut menyifatkan gerakan itu akan berpegang kepada keluhuran undang-undang dan keluhuran negara. 

Menurut Dr. Mahathir, rakyat akan mempunyai pilihan lain selain daripada parti politik biasa apabila GTA bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). 

Beliau berkata, GTA mengumpulkan rakyat daripada semua lapisan masyarakat termasuk badan bukan kerajaan (NGO); badan sosial dan individu patriotik, akademik dan profesional. 

“Tidak ada ideologi bagi mereka selain daripada cinta pada negara bangsa. 

“Beberapa parti politik turut bersama dalam GTA dan mengetepikan perjuangan untuk parti sendiri. 

“Mereka diperlukan supaya susunan pencintan negara daripada pelbagai puak dapat diurus sesuai dengan pilihan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Baca artikel berkaitan: GTA hantar permohonan rasmi pada RoS, guna logo obor

Mengulas lanjut, Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkata, calon-calon GTA bagi menghadapi PRU-15 akan terdiri daripada ahli NGO, tokoh akademik, golongan profesional dan parti politik. 

Jelas beliau, GTA bukan parti politik biasa kerana ia merupakan gerakan rakyat yang biasanya tidak bersuara dalam politik. 

Kata Dr. Mahathir, golongan berkenaan tidak bersetuju dengan perkembangan politik negara dan mendapati tiada satu pun parti yang memenuhi kehendak negara. 

“Mereka berpendapat menyokong parti-parti sedia ada tidak menghasilkan kerajaan yang mampu menyumbang kepada kestabilan dan kejayaan negara. 

“Insya-Allah, dengan sokongan semua pencinta negara, GTA akan berjaya dalam PRU-15 dan mendirikan kerajaan yang berpegang kepada keluhuran undang-undang; kepada Perlembagaan dan kesejahteraan rakyat serta negara,” jelas beliau. 

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram