Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad bersama pemimpin-peminpin parti gabungan melayu yang terdiri daripada parti PEJUANG, PUTRA, BERJASA dan IMAN selepas mengadakan sidang media khas mengenai penubuhan parti-parti gagasan baharu yang dinamakan sebagai Gerakan Tanah Air di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, baru-baru ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

TUN Dr Mahathir Mohamad menegaskan Gerakan Tanah Air terdiri daripada ahli politik yang bersih dari jenayah.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, GTA memberi alternatif kepada pengundi yang menolak untuk mengundi parti perasuah.

Jelas beliau, hal itu kerana sebelum ini ramai pengundi tidak mempunyai pilihan untuk mengundi parti yang baik seterusnya mengambil langkah untuk tidak mengundi.

“Yang malang ialah apabila mereka tidak mengundi, yang akan mengundi ialah mereka yang disogok oleh perasuah.

“Kesannya ialah parti perasuah yang akan menang. Parti perasuahlah yang akan mendirikan kerajaan. Kerosakan negara akan berterusan,” katanya dalam kenyataan.

Baca lagi: GTA bersih jenayah, wakili pencinta negara – Tun M

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, faktor pengundi tidak keluar mengundi itu boleh dlihat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

Jelas beliau, hampir 50 peratus pengundi tidak keluar mengundi dalam kedua-dua PRN tersebut.

Lantaran itu, katanya, Barisan Nasional (BN) menang besar walaupun dengan sokongan hanya 35 peratus daripada pengundi.

“Masalahnya pengundi yang menolak sogokan tidak ada pilihan. Mereka juga tidak suka parti-parti lain yang bertanding.

“Jika negara ingin elak dari memberi kemenangan kepada UMNO, pengundi perlu ada pilihan selain dari yang ada.

“GTA adalah parti Melayu yang terdiri dari ahli politik yang bersih dari jenayah. Pemimpin mereka tidak pernah didakwa di hadapan mahkamah, jauh sekali dari di penjara.

“GTA juga mempunyai ramai pemimpin yang berpengalaman. Hasrat GTA ialah untuk mendiri Kerajaan yang hormati undang-undang (Rule of Law) dan Perlembagaan negara,” katanya,

Dr Mahathir menambah, walaupun keahlian GTA terhad kepada orang Melayu, mereka juga akan berlaku adil kepada kaum-kaum lain.

Katanya, kerajaan yang akan GTA dirikan juga akan mencerminkan masyarakat berbilang kaum yang terdapat di Malaysia.

“Jelaslah dengan GTA bertanding rakyat yang bosan dengan politik, dan ketidakstabilan negara sejak Langkah Sheraton, akan dapat memilih Kerajaan parti Melayu selain dari parti UMNO,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram