Sekali lagi, pada Sabtu 17 September 2022, Persatuan Anak-anak Melayu Johor @ Wilayah Persekutuan & Selangor (PAMJ) , menganjurkan siri bicara tokoh berjenamakan Sembang-sembang Kopi PAMJ.

Tema kali ini ialah “Melayu; Membina Penyatuan & Menyuburkan Integriti”. Tokoh yang ditampilkan ialah Tun Musa Hitam manakala Tan Sri Johan Jaaffar berperanan sebagai moderator.

Perangsang utama yang menjentik keinginan kami menghadiri acara ini ialah kerana tokoh yang ditampilkan bagi membicarakan tajuk yang begitu omnibus skopnya. Ternyata, Tun Musa masih “berbisa”, sekalipun sekian lama menyepikan diri.

Sayugia juga dimaklumkan, pada 25 Mei 2022, sempena Sambutan Aidilfitri MPM, kami juga telah menganjurkan sidang meja bulat atas tajuk yang hampir sama, iaitu mengenai penyatuan bangsa.

Di penghujung siri tersebut yang berlanjutan lebih dua jam, Tun Musa menyuarakan saranannya mengenai tema siri bicara ini. Beliau menyeru, jika benar Melayu itu hendak bersatu, dua perkara ini perlu dilaksanakan segera:

• Pertama, tiga parti utama bangsa Melayu, iaitu UMNO, PAS dan Bersatu wajib membina kesepakatan yang ikhlas dan dihormati serta diterima oleh semua pengundi, bukan saja dalam kalangan bangsa Melayu.

• Kedua, semua pemimpin itu wajib kedepankan agenda penyatuan nasional (national unity) dan bukan mempermainkan sentimen keMelayuan atau/dan keIslaman. Orang Melayu sendiri pun sudah meluat dan mual dengan cara dan taktik politik oleh pemimpin-pemimpin itu yang mempermain dan mempersendakan kedua-dua sentimen itu.

Pada hemat saya, siapa pun tokoh yang ditampilkan untuk berbicara mengenai topik berkaitan penyatuan bangsa, waima Tun Musa sekalipun, mesejnya tidak sampai ke telinga pemimpin-pemimpin Melayu yang dimaksudkan. Bukan kerana mereka pekak. Bukan kerana mereka tidak insaf betapa perlunya agenda penyatuan bangsa diperkukuhkan.

Masalahnya ialah kerana mereka itu tidak lagi berperanan sebagai pemimpin institusi politik berkepentingan bangsa dan agama. Mereka sudah dapat mengenggam kuasa politik maka mereka hendak genggam kuasa itu sampai mati. Jika mereka pemimpin dalam erti kata sebenarnya, mereka tidak akan mengenggam kuasa itu lama.

Sebaliknya mereka junjung kuasa itu sebagai amanah dari bangsanya. Jika mereka itu pemimpin dalam erti kata yang sebenarnya, mereka bukan berada di situ untuk membina legasinya, sebaliknya mengekalkan budaya dan tamadun kepimpinan Melayu yang perpetual.

Mereka itu sebenarnya ketua kartel politik yang lebih cenderung berperanan sebagai tauke politik. Mereka mengunakan produk politik yang boleh mencetuskan sentimen penyokongnya. Pada perkiraan mereka, bangsa Melayu ini amat mudah dipengaruhi dengan sentimen berpolitik secara emosi dalam hal berkaitan agenda bangsa dan agama Islam.

Apa pun, Tun Musa tidak terlewat dalam membuat seruan itu.

Tun Musa pun tahu tiada pemimpin politik Melayu daripada ketiga-tiga parti politik utama bangsa Melayu itu yang berminat dengan seruannya.

Tapi Tun Musa juga tahu, para pengundi Melayu, malah para pengundi pelbagai etnik dan suku kaum, jauh lebih stabil pemikiran dan emosi mereka terhadap usaha membina kemakmuran negara, berbanding dengan para pemimpin politik itu.

Itu sebabnya negara ini tidak kucar-kacir sekalipun politik bergolak dan kerajaan silih berganti. Hakikatnya rakyat stabil, sekalipun berdepan kegawatan ekonomi-kewangan. Rakyat sudah tidak sangat ambil peduli akan ketidakstabilan politik. Sebabnya, yang tak stabil hanyalah beberapa parti politik bangsa Melayu saja.

Yang rakyat bimbang ialah apabila jentera pentadbiran kerajaan tidak stabil kerana kerakusan sebilangan kecil mereka yang ketagih rasuah, gila kuasa dan ramai juga di antara mereka yang malas melaksanakan dengan sepenuh hati, agenda kepentingan bangsa dan negara.

Apa pun, syabas PAMJ di atas penganjuran acara itu.

Kepada Tun Musa, ulangilah seruan itu, sekalipun 1000 kali lagi. Kami akan tetap hadir menagu mendengar celotehmu yang diselangi gelak ketawa.

Penullis adalah Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM)