Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersalaman dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Majlis Pelancaran Jentera Pemuda BN di Stadium Titiwangsa, baru-baru ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

KELANTANGAN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menggesa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dilihat akan menjadi beban kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Menurut Datuk A. Kadir Jasin, manakan tidak, Presiden UMNO itu nampak seolah-olah PRU-15 hanya mengenai UMNO, BN dan diri sendiri sahaja.

“Ahmad Zahid kata dia berani redah banjir sekiranya pilihan raya diadakan pada musim banjir.

“Sedangkan Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan hujan lebat dan banjir bermula pertengahan November ini,” katanya dalam perkongsian di Facebook.

Baca lagi: Kalau PRU-15 diadakan semasa banjir sekalipun, kita sanggup turun berkempen – Ahmad Zahid

Mengulas lanjut, Kadir turut mengimbau PRU-14 pada 2018 yang mana ketika itu UMNO berkuasa dan Ahmad Zahid masih menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Kadir mendakwa, beliau melihat Ahmad Zahid berkempen di Johor dengan menggunakan dua buah helikopter kerajaan – sebuah Nuri eksekutif dan sebuah AgustaWestwind 139 milik Maritim Malaysia.

“Tak tahulah kalau Ismail Sabri juga akan guna aset kerajaan untuk berkempen dan silap-silap bagi Ahmad Zahid tumpang sekaki.

Tapi kalau Ismail Sabri pandai, dia tak buatlah macam Ahmad Zahid atau ajak Ahmad Zahid berkempen. Rasa-rasanya Ahmad Zahid ni dah jadi beban kepada UMNO dan BN,” katanya.

Wartawan veteran itu juga berharap agar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak tergesa-gesa melakukan pilihan raya atas kepentingan orang lain.

Tegas beliau, Ismail Sabri merupakan Perdana Menteri yang tidak mempunyai kes mahkamah serta bertanggungjawab terhadap rakyat dan negara.

Kita harap Ismail Sabri tidaklah gung-ho (kelam-kabut) macam Ahmad Zahid dan konco-konco dia yang mahu pilihan raya cepat semata-mata kerana nak selamat.

Dia Perdana Menteri, dia tak ada kes prima facie dan dia bertanggungjawab kepada negara dan rakyat jelata.

Kalau rakyat menderita atau terkorban kerana banjir sebab kerajaan sibuk dengan pilihan raya, bukan Ahmad Zahid yang tanggung tapi dia (Ismail Sabri).

Jangan lupa penangan banjir 2014/15 terhadap Mohd Najib Abdul Razak dalam PRU lalu. Dengan adanya media sosial, orang ramai tak mudah lupa,” katanya.

Kadir menambah, beliau mengakui ramai yang mahu pilihan raya diadakan dengan segera tetapi tidaklah sehingga menyabung nyawa ketika banjir.

Jelas beliau, sehingga Ogos lalu, jumlah pengundi adalah seramai 21.1 juta orang manakala Ahmad Zahid pula hanya seorang saja.

Terdahulu, Ahmad Zahid ketika berucap dalam majlis pelancaran Pergerakan Pemuda BN pada 17 September lalu menggesa Perdana Menteri untuk menyegerakan PRU-15.

Beliau malah berkata, BN bersedia untuk meredah banjir untuk berkempen sekiranya PPRU-15 diadakan pada hujung tahun ini.

Kenyataan beliau disambut dengan sorakan ‘bubar parlimen’ oleh ribuan ahli BN yang hadir pada majlis tersebut.

Perdana Menteri yang merangkap Naib Presiden UMNO turut hadir dalam majlis tersebut dan menyatakan akan berbincang mengenai tarikh pilihan raya nanti.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram