Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. GAMBAR: Abd Razak Aid

BILANGAN kes COVID-19 mencatatkan penurunan sebanyak 4.9 peratus pada minggu epidemiologi ke-38 (ME 38/2022) iaitu dari 18 hingga 24 September berbanding minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah 4.9 peratus itu adalah menurun kepada 12,963 kes berbanding 13,627 yang direkodkan pada ME 37 iaitu antara 11 hingga 17 September.

Menurut beliau, bilangan kes tempatan turut susut sebanyak 4.8 peratus iaitu daripada 13,585 kepada 12,924 jangkitan.

Dr. Noor Hisham memberitahu, kes import mencatatkan penurunan signifikan iaitu daripada 42 kes kepada 29 kes.

“Bilangan kes sembuh juga turun daripada 14,513 kepada 13,677 jangkitan pada ME 38.

“Bagaimanapun, jumlah kematian telah meningkat sebanyak sembilan kes iaitu daripada 31 daripada minggu sebelumnya kepada 40 kes minggu lalu.

“Purata kes aktif setiap hari adalah 25,325 iaitu terdapat penurunan sebanyak 4 peratus berbanding minggu sebelumnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Pakej rangsangan, pembukaan semula ekonomi kurang impak besar COVID-19 – PM

Mengulas lanjut, Dr. Noor Hisham berkata, jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 populasi bagi semua kategori menurun pada ME 38/2022 berbanding ME 37/2022.

“Pesakit kategori satu dan dua menurun 7.1 peratus manakala pesakit kategori tiga, empat dan lima menurun 11.5 peratus,” katanya.

Dr Noor Hisham bagaimanapun berkata kes-kes positif COVID-19 yang dipantau Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di seluruh negara menunjukkan peningkatan dari segi bilangan kes baharu yang menjalani pemantauan di rumah iaitu 102 peratus.

Beliau berkata berdasarkan perbandingan data CAC fizikal yang dilaporkan pada ME 37/2022 dan ME 38/2022, bilangan kedatangan pesakit ke CAC menurun 0.5 peratus manakala kes COVID-19 yang dirujuk CAC ke hospital tidak berubah bagi kedua-dua tempoh.

Kata Dr Noor Hisham, dari 25 Jan 2020 hingga 24 Sept lepas, kumulatif kes baharu COVID-19 yang dicatatkan negara ialah sebanyak 4,830,214 kes.

Dalam tempoh sama, kumulatif kes sembuh COVID-19 ialah sebanyak 4,768,604 kes manakala kumulatif kes kematian berjumlah 36,348 kes dan kumulatif kluster ialah 7,079 dengan 14 kluster masih aktif.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram