Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat.

USAHA ke arah pembentukan negara Malaysia yang bebas rokok dan mencapai hasrat Generational End Game (GEG) tidak boleh dibuat secara silo sebaliknya ia memerlukan kerjasama semua pihak untuk menjayakannya.

Bagi menyokong usaha kerajaan ke arah itu, Pengarah Kanan (Kesihatan Pergigian) Program Kesihatan Pergigian, Kementerian Kesihatan, Dr Noormi Othman berkata pihaknya optimis untuk meneruskan pelaksanaan program Kesihatan Oral Tanpa Amalan Merokok (KOTAK).

Katanya, KOTAK adalah inisiatif strategik pencegahan dan intervensi merokok dalam kalangan murid sekolah rendah dan menengah seluruh negara yang diperkenalkan sejak 2016.

“Kira-kira 8,000 pegawai kami di seluruh negara menjalankan pemeriksaan mulut untuk mengesan sebarang masalah kesihatan mulut dan pada masa sama melaksanakan saringan amalan merokok dalam kalangan murid sekolah.

“Pegawai ini dilatih untuk mengenalpasti murid yang merokok dan murid yang berisiko tinggi untuk merokok agar usaha pencegahan, intervensi ringkas dan lanjutan dapat dilaksanakan termasuk sesi kauseling oleh pegawai pergigian yang mensasarkan perubahan tingkahlaku agar murid yang merokok atau menghisap vape ini terdorong untuk berubah seterusnya mengambil tindakan berhenti,” katanya pada sidang media ketika ditemui baru-baru ini.

Katanya, di Malaysia, berdasarkan Tinjauan Kesihatan Remaja 2017, didapati 13.8 peratus remaja adalah perokok yang mana merokok pada usia lebih muda meningkatkan kemungkinan untuk seseorang kekal sebagai perokok sehingga dewasa.

“Pada 2019, menerusi program KOTAK, saringan membabitkan 2.7 juta (99.4 peratus) murid sekolah rendah dan 1.95 juta (97.4 peratus) murid sekolah menengah dijalankan. Daripada saringan itu, didapati seramai 1,240 orang (0.04 peratus) perokok membabitkan murid sekolah rendah dan 67,763 orang (3.4 peratus) adalah murid sekolah menengah.

 “Daripada 855 murid sekolah rendah yang menjalani intervensi ini, seramai 762 iaitu 89 peratus sudah mengambil tindakan untuk berhenti merokok manakala bagi murid sekolah menengah pula, daripada 39,340 yang menjalani intervensi seramai 17,767 orang (45 peratus) sudah mengambil tindakan untuk berhenti merokok.

 “Selagi ada rokok, selagi itu KOTAK akan diteruskan mengambil kira keberkesanannya dalam mencegah tabiat merokok dalam kalangan murid sekolah,” katanya.

 Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat, berkata  pihaknya menyokong usaha kerajaan untuk melaksanakan GEG yang mana ia telah dizahirkan sejak lama dulu melalui pelbagai inisiatif termasuklah mengisytiharkan larangan merokok dan vape di pejabat korporatnya, RedQ dan kawasan sehingga 500 meter daripada premis berkenaan sejak 1 Oktober 2019.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat

 “Kami juga berhenti menjual rokok bebas cukai di dalam penerbangan bermula 1 Oktober 2019 selain papan tanda ‘anda dilarang merokok’ dipasang di sekitar premis pejabat untuk menggalakkan Allstars (kakitangan AirAsia) tidak merokok semasa waktu bekerja.

 “Beberapa inisiatif lain juga sedang dalam perancangan antaranya termasuklah bantuan berhenti merokok untuk Allstars dengan memperkenalkan aplikasi kesihatan dalam talian (ONEHealth) yang menawarkan rundingan dan kaunseling dengan doktor berpengalaman selain menjalin kerjasama dengan syarikat pengedar terapi penggantian nikotin untuk pemberian subsidi atau penajaan produk berkaitan kepada Allstars,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram