Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah GAMBAR: Abd Razak Aid

PERMOHONAN semakan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membatalkan sabitan dan hukuman terhadapnya kerana menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd (SRC), ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Mahkamah Persekutuan pada 21 Okt.

Peguam bekas Perdana Menteri itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan perkara itu semasa pengurusan kes SRC yang lain, berhubung tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM27 juta dana SRC dihadapi Najib, di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan hari ini.

Pada awalnya, Hakim Mohamed Zaini bertanya kepada Muhammad Shafee sama ada beliau akan mengendalikan permohonan semakan Najib memandangkan firma guaman Tetuan Shafee & Co sebelum ini diberhentikan daripada mewakili Najib dalam rayuan terakhirnya berhubung kes RM42 juta dana SRC.

“Ya, saya. Saya kembali semula selepas beberapa kesulitan, tetapi saya datang kembali,” katanya.

Hakim Mohamed Zaini menjawab: “Tidak sepatutnya anda pergi”, yang mengundang tawa di bilik mahkamah.

Baca lagi: Tahap kesihatan baik, Najib dihantar semula ke Penjara Kajang – HRC

Pada 26 Julai lepas, Najib memberhentikan dengan serta-merta Tetuan Shafee & Co daripada mewakili beliau dalam rayuan terakhirnya terhadap sabitan dan hukuman bagi kes penyelewengan RM42 juta dana SRC dan melantik Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST) sebagai peguam cara baharu.

Pada 23 Ogos, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC berjumlah RM42 juta, yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi.

Najib menerusi Tetuan Shafee & Co pada 6 Sept memfailkan permohonan bagi menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan itu.

Najib, 69, kini menjalani hukuman di Penjara Kajang.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram