DUA beradik maut selepas terkena renjatan elektrik ketika mandi di dalam besen di perkarangan rumah mereka dekat Kampung Teras Jernang, Kajang, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kejadian daripada jururawat Hospital Annur, Bangi pada pukul 6.30 petang.

Beliau berkata, mangsa, Adam Haziq Zamri, 10, dan Adam Harish Zamri, 9, berada dalam keadaan tidak sedarkan diri akibat terkena renjatan elektrik.

“Bantuan pernafasan telah diberikan sebelum kedua-dua beradik itu disahkan meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, pihak polis telah hadir ke tempat kejadian dan menemu ramah ibu bapa mangsa.

“Mangsa merupakan anak kedua dan ketiga dari empat orang adik beradik manakala ibu bapa mangsa adalah peniaga kedai makanan hampir 10 tahun,” ujarnya.

Jelasnya, ketika kejadian bapa mangsa keluar ke kedai untuk membeli barang manakala ibu mangsa berada di dalam rumah.

“Bapa mangsa kemudian tiba di rumah dan mendapati kedua-dua anaknya sudah tidak bernyawa,” tambahnya.

Baca artikel berkaitan : Budak 12 tahun maut terkena renjatan elektrik

Wan Kamarul Azran berkata, menurut bapa mangsa, anaknya meninggal dunia berpunca dari renjatan elektrik yang mengalir dari sebatang besi penyidai baju.

Pihak Tenaga Nasional Berhad juga mengesahkan berlaku geseran dari wayar tepi rumah bapa mangsa terus ke zink di mana menyebabkan wayar tersebut luka dan arus elektrik mengalir melalui besi penyidai baju.

“Kedua-dua mangsa terkena renjatan elektrik apabila bersentuhan dengan besi penyidai baju yang berada di tempat mandi,” ujarnya.

Beliau berkata, keadaan rumah tersebut berselerak dengan besi-besi terpakai dan tidak tersusun kerana sebelum ini bapa mangsa mempunyai bengkel kereta tetapi telah ditutup menyebabkan barang terpakai tersebut dibawa balik ke rumah.

Katanya, bedah siasat ke atas kedua-dua beradik akan dibuat selepas ujian saringan COVID-19 dibuat di Hospital Serdang.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram