Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berucap semasa Majlis Perasmian Persidangan Bahagian Bahagian dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Selangor. GAMBAR: Facebook Azmin Ali

“Ada orang sudah minat nak datang Gombak, silakan. Gombak terbuka, saya anak jantan.”

Itu kata penyandang kerusi Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberi bayangan sedia mempertahankan kerusi yang dimenanginya itu sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) pada tahun 2008.

Walaupun tidak menamakan individu tersebut, namun Mohamed Azmin dipercayai menujukan ‘cabaran’ tersebut kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini berhasrat untuk bertanding dan merampas kerusi Parlimen yang disandang oleh ‘pengkhianat’ PKR dan Pakatan Harapan (PH).

Pada masa sama, Mohamed Azmin yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terbuka untuk menentang sesiapa sahaja tidak kira isteri atau anak pencabarnya.

Mohamed Azmin secara sinis juga mengatakan ‘lawannya’ itu sudah tidak lagi relevan.

Malah, beliau menyifatkan tuduhan yang dilemparkan bahawa dirinya merupakan seorang ‘pengkhianat’ sudah melampau.

“Nak hantar isteri pun boleh, nak hantar anak pun boleh. Kalau berani, hantar diri sendiri di Gombak.

“Saya lihat, nak jawab pun bagi saya dia tak relevan lagi tapi tuduhan yang dilemparkan itu melampau.

“Sehingga mereka bersungguh-sungguh mencipta naratif bahawa kita ini pengkhianat, maka kerusi pengkhianat akan ditentang habis-habisan,” katanya.

Baca artikel berkaitan: Anwar timbang bertanding di kerusi ‘pengkhianat’

Beliau berkata demikian ketika melancarkan persidangan Bahagian Bersatu dan jentera Pilihan Raya Bersatu Selangor hari ini.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin turut mengungkit semula episod ‘Langkah Kajang’ hingga membuatkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Lee Chin Cheh terpaksa meletakkan jawatan.

Mohamed Azmin mendakwa, Langkah Kajang itu diatur Anwar bagi membolehkannya menjadi Menteri Besar Selangor.

“Apakah rakyat sudah lupa peristiwa Langkah Kajang? Apakah ini bukan khianat mandat rakyat.

“Rakyat Malaysia tolong ingat, sejarah tidak boleh dipadamkan.

“Takdir Allah tak membenarkan beliau menjadi wakil rakyat, masuk balik. Ini semua ketentuan Allah,” jelas beliau.

Rabu lalu, Anwar mendedahkan hasratnya untuk bertanding dan merampas kerusi Parlimen yang disandang oleh ‘pengkhianat’ PKR dan PH.

Presiden PKR itu bagaimanapun tidak menyatakan secara spesifik mengenai kerusi Parlimen yang menjadi perhatiannya, namun kerusi itu mestilah memberi kelebihan tambahan kepada PKR dan PH.

Selain Mohamed Azmin, ahli Parlimen yang keluar PKR dan sertai Bersatu ialah Datuk Zuraida Kamaruddin (Ampang), Datuk Seri Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Datuk Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal), Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat), Datuk Seri Dr Santhara Kumar (Segamat), Ali Biju (Saratok), Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Jonathan Yasin (Ranau).

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram