KERANA bersikap tidak jujur dan mementingkan diri, ia menjadi punca penceraian antara pasangan penyanyi Bad Indigo dan Ashira Aziz.
Bad atau Badrul Izhan Yeop membuat pendedahan itu selepas tidak tahan melihat bekas isterinya terus dicaci, dihentam dan dituduh menjadi punca utama mereka berpisah.
Ujar Bad, dia turut menafikan hubungan mereka berpisah disebabkan orang ketiga sebaliknya ia berpunca daripada sikapnya yang tidak berterus-terang mengenai kondisi kesihatannya sebelum menikahi Ashira.
“Nak tau sebab apa kami berpisah, bukan salah dia tetapi salah saya. Saya tidak berlaku jujur dengan dia. Saya tidak jujur bukan kerana orang ketiga, jangan salah faham.
“Saya tak jujur berkenaan penyakit yang saya ada. Saya pun tak faham dengan sakit saya ni. Apabila dah bernikah, baru saya tahu betapa teruknya sakit saya itu.
“Tak adil untuk Ashira sebab saya tak jujur dengan dia sebab takut hilang dia. Saya takut kalau dia tahu saya sakit macam-macam, takut dia tak nak saya. Saya pentingkan diri.
“Akhirnya, kita tetap berpisah juga. Apabila tiada kejujuran maka hilanglah kepercayaan. Itu silap besar saya dan Ashira menjadi mangsa,” katanya menerusi perkongsian video di Instagram miliknya.
Sementara itu, Bad tetap mendoakan kebahagiaan Ashira dan memohon maaf atas semua yang berlaku.
“Saya minta maaf sangat-sangat dekat dia. Kesian Ashira…bukan salah dia. Cukuplah hentam dia. Dia juga berhak dapat kebahagiaan untuk kehidupannya,” ujarnya.
Terdahulu, Ashira ada memuat naik gambar bersama seorang lelaki yang digambarkan sebagai ‘crush’nya.

Pendedahan itu sekaligus menimbulkan pelbagai reaksi daripada netizen yang mengangap Ashira cepat ‘move on’ daripada penceraiannya.
Malah ada juga yang melemparkan kata-kata nista terhadap Ashira dengan menuduh dirinya meminta cerai dengan Bad disebabkan tidak tahan keadaan bekas suaminya itu yang memerlukan penjagaan rapi.
Bad dan Ashira yang masing-masing merupakan bekas peserta Gegar Vaganza musim ketujuh bernikah pada 11 Mac tahun lalu.
Namun hubungan mereka tidak bertahan lama apabila mengumumkan telah bercerai pada Jun lalu.
Pada awak Mei lalu, Bad menjalani pembedahan membuang lima jari kaki akibat penyakit kencing manis. Ia juga membuatkan keadaa Bad saat ini sukar bergerak secara normal.

