DATUK Seri Najib Tun Razak yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang boleh menghadiri Sidang Parlimen sekiranya memperoleh kebenaran daripada Jabatan Penjara.
Bagaimanapun, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun memaklumkan, perkara tersebut tidak berada di bawah bidang kuasa beliau.
Azhar berkata, ini kerana Ahli Parlimen Pekan itu berada di bawah ‘penjagaan’ Jabatan Penjara.
Secara am, Azhar menjelaskan, sesiapa Ahli Parlimen pun berhak hadir dan masuk ke Dewan Rakyat tanpa memerlukan kebenarannya.
Justeru, kata beliau, Najib tidak perlu meminta kebenarannya untuk hadir ke Dewan Rakyat kerana beliau tidak langsung mempunyai kuasa atas perkara berkenaan.
“Persoalannya sekarang, adakah beliau boleh hadir? Itu bukan di bawah kuasa saya kerana ia bukan di bawah jagaan saya. Jadi, penjara mempunyai hak penjagaan beliau, maka terpulang kepada pihak penjara untuk melepaskan beliau daripada penjagaan itu.
“Mengikut kefahaman saya, jika pihak penjara melepaskan beliau daripada penjagaan, maka pihak penjaralah yang menetapkan syarat pelepasan itu. Sekali lagi, bukan juga kuasa saya,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab persoalan Mohamed Hanipa Maidin (PH-Sepang) yang mencadangkan Najib dibenarkan hadir ke Sidang Parlimen tetapi dengan tangan bergari.
Baca artikel berkaitan: Status Ahli Parlimen kekal, Najib fail petisyen pengampunan
Perkara 48, Perlembagaan Persekutuan menetapkan seseorang itu boleh hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen jika disabitkan kesalahan dan dihukum penjara lebih setahun, dan denda lebih RM2,000.
Bagaimanapun, jika petisyen pengampunan difailkan dalam tempoh 14 hari dari sabitan dan hukuman, atau selepas pelupusan mana-mana rayuan atau prosiding mahkamah berhubung sabitan dan hukuman, kehilangan kelayakan itu hanya berkuat kuasa apabila petisyen itu dilupuskan, mengikut Perkara 48(4)(c).
Najib telah memfailkan pengampunan diraja dalam tempoh 14 hari selepas sabitan itu.
Bulan lalu, Azhar dalam kenyataan memaklumkan status Najib sebagai ahli Parlimen kekal buat masa ini kerana telah memfailkan petisyen pengampunan.
Menurut Azhar, beliau telah pun menerima dokumen salinan permohonan pengampunan ke atas Najib yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang bertarikh 1 September lalu.
Beliau memaklumkan turut menerima salinan surat daripada Tetuan Shafee & Co bertarikh sama yang melampirkan permohonan pengampunan itu diaku-terima Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri.
Pada 23 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta ke atas Najib atas kesalahan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana milik SRC International.
Untuk rekod, Najib memenangi kerusi Parlimen Pekan sejak 1976 dan pada PRU14 lalu, beliau menang dengan majoriti 24,859 undi dalam pertandingan empat penjuru.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

