Deretan bendera parti politik berkibaran sempena Pilihan Raya Umum ke-15 di sekitar Kampung Sungai Kertas, Batu Caves. GAMBAR: Abd Razak Aid

ISTILAH ‘cah keting’ atau sabotaj dari dalam parti sendiri sentiasa menjadi igauan ngeri bagi calon import, kerana mereka dilihat seolah-olah cuba menidakkan keputusan parti di peringkat bahagian yang telah menetapkan individu tertentu bertanding di sesebuah kawasan pilihan raya.

Malah, calon import ini sering diibaratkan sudah dibentangkan ‘permaidani merah’ apabila menerima laluan mudah untuk bertanding di kerusi ditetapkan pucuk pimpinan parti sedangkan kerja-kerja menambat hati pengundi dilakukan sejak sekian lama oleh jentera parti di peringkat akar umbi.

Tidak dinafikan, isu ini sering menjadi topik perbahasan hangat dalam kalangan rakyat setiap kali pilihan raya umum diadakan.

Pastinya akan timbul pelbagai persepsi positif mahupun negatif melatari isu calon import ini namun akhirnya, ia bergantung kepada kebijaksaan calon itu sendiri dalam mententeramkan ‘ribut’ yang mungkin berlaku di sesuatu bahagian.

Di Melaka, terdapat tiga calon import bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini, iaitu calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Masjid Tanah Mutalib Uthman (PH-MUDA), calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Alor Gajah Shahril Sufian Hamdan (BN-UMNO) dan calon PH Parlimen Hang Tuah Jaya Adam Adli Abd Halim (PH-PKR).

Menurut pemangku Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah Datuk Rospandi Leman, ia perkara biasa dalam mana-mana pilihan raya apabila pucuk pimpinan menukar calon pada saat akhir termasuklah menggunakan calon import jika melihat potensi boleh menang mereka di kawasan ditandingi.

Baca artikel lain: PRU-15: Ismail Sabri kekal calon PM, ia keputusan parti – Shahril Sufian Hamdan

Pengerusi BN Parlimen Alor Gajah itu berkata bagaimanapun calon import perlu merendah diri dan sedar mereka merupakan ‘pendatang baharu’ di kawasan tersebut.

“Maklumlah kita ni orang Melayu, ada budi bahasa. Kadang-kadang hutan rimba kita ratakan tiba-tiba orang lain buat istana. Datang nampak depan pulang nampak belakang,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Sementara itu, Shahril Sufian berkata pencalonannya adalah milik parti dan beliau bukannya bertanding sebagai individu.

“Sebenarnya yang paling mustahak adalah kesediaan rakyat di (Parlimen) Alor Gajah untuk kembali memilih BN sebagai wakil mereka di Parlimen.

“Kita lihat setelah Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, apa bezanya apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu adalah ADUN yang berkhidmat, apa bezanya apabila kerajaan negeri itu ditadbir oleh BN, saya nampak ini telah membawa kepada satu kemahuan untuk (rakyat) Parlimen itu sendiri kembali kepada BN,” katanya.

Bagi Mutalib, rakan komponen PH amat membantu beliau dalam melaksanakan kempen di Parlimen Masjid Tanah memandangkan MUDA tidak mempunyai jentera yang banyak seperti parti-parti lain.

“Setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) memang kita minta rakan komponen kami untuk tolong. Contohnya baru-baru ini rakan kami dari DAP mengadakan satu ceramah dengan menampilkan veteran parti itu, Lim Kit Siang di Kampung Paya Mengkuang.

“Boleh bayangkan walaupun ceramah kita tak besar, tapi mereka boleh bawa turun Lim, itu yang saya rasa rakan-rakan dalam PH membantu kitalah,” katanya.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram