BARISAN Nasional (BN) Perak yang tewas teruk dalam Pilihan Raya Negeri dengan hanya memenangi sembilan kerusi memilih untuk bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) kerana gabungan itu menawarkan beberapa jawatan penting dalam kerajaan negeri.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saraani Mohamad mendedahkan selepas keputusan pilihan raya diketahui, wakil PH menemui beliau dan menawarkan peranan kepada BN dalam kerajaan baharu jika mereka membentuk kerajaan bersama.

“Pertama, BN akan diberi jawatan menteri besar. Esok, ada tiga orang EXCO daripada BN akan angkat sumpah, dan ditambah seorang lagi ialah speaker Dewan Undangan Negeri. Maknanya, kami diberi peranan dalam kerajaan perpaduan ini.

“Berbanding dengan PN, mereka tidak mahu datang berjumpa saya untuk berunding atau memberi apa-apa peranan,” kata Pengerusi BN Negeri itu dalam sidang akhbar sebaik sahaja selesai mengangkat sumpah sebagai MB Perak di hadapan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah petang ini.

BERITA BERKAITAN Saarani sekali lagi dilantik MB Perak

Saarani berkata, BN Perak mengambil inisiatif selepas mendapati kedua-dua gabungan itu tidak boleh duduk semeja dan membentuk kerajaan, meskipun memperoleh jumlah kerusi lebih banyak berbanding BN.

Sebelum itu, Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kota Tampan itu mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak ke-15, jawatan yang dipegangnya sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri pada 16 Okt lalu.

Bernama melaporkan Ketua Barisan Nasional Perak itu mengangkat sumpah di depan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada 5.40 petang.

Saarani, 61, menerima watikah pelantikan daripada Sultan Nazrin pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perak di Balai Istiadat Kecil Istana Iskandariah di Kuala Kangsar. 

Beliau kemudian menandatangani surat pelantikan dengan disaksikan Hakim Utama Mahkamah Tinggi Ipoh Datuk Abdul Wahab Mohamed. 

Berangkat sama Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Dihilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Sultan Nazrin telah memberi perkenan pelantikan Saarani berpandukan Perkara 16 Fasal 2 (a) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak setelah pada timbangan baginda, ADUN Kota Tampan itu boleh mendapat kepercayaan sebahagian besar ADUN.

Pada PRU15, Perikatan Nasional (PN) memperoleh 26 kerusi manakala PH dan BN masing-masing mendapat 24 serta sembilan kerusi sekali gus membentuk kerajaan negeri baharu di Perak.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram