BADAN pemikir, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menzahirkan kegusaran terhadap pengumuman senarai Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, malam tadi yang diibaratkan memberi isyarat salah kepada rakyat.
Sambil menyifatkan pengumuman itu amat dinantikan baik di peringkat domestik mahupun antarabangsa, namun IDEAS menyifatkan keputusan Anwar melantik Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri di sebalik pertuduhan sedang dihadapinya di mahkamah amat membingungkan.
Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Dr Tricia Yeoh berkata, pihaknya juga menggesa pengasingan peranan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan kerana tiada pengawasan terhadap portfolio paling penting dalam Kabinet.
“Walaupun mencapai kestabilan, pelantikan Zahid Hamidi sebagai TPM yang memegang portfolio strategik memberi isyarat salah daripada kerajaan yang berikrar untuk mematuhi prinsip tadbir urus yang baik.
“Walaupun tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah dan melalui semua proses rayuan sudah memadai untuk mengekalkan kerusi di Parlimen, ahli-ahli Kabinet yang dilantik perlu mempunyai standard yang lebih tinggi.
“Hal ini penting untuk memastikan keyakinan dan kepercayaan orang ramai terhadap kerajaan hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tricia berkata, langkah Anwar melantik diri sendiri sebagai Menteri Kewangan juga tidak selaras dengan prinsip tadbir urus yang baik yang sebelum ini diisytiharkan beliau sebagai agenda teras Kerajaan Perpaduan.
“Komitmen untuk mengasingkan portfolio juga telah dibuat dengan jelas dalam manifesto pilihan raya PH sebelum ini.
“Skandal rasuah 1MDB, sebahagiannya dipermudahkan dengan membenarkan seorang individu memegang dua jawatan penting Kabinet ini secara serentak.
BERITA BERKAITAN Barisan Kabinet 28 menteri, Anwar Menteri Kewangan, Zahid, Fadillah TPM
“Tiga pentadbiran (Perdana Menteri) sebelum ini telah cuba mengubah tradisi ini dengan melaksanakan pengasingan kuasa antara jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Walaupun secara politik sukar untuk menamakan Menteri Kewangan dalam kerajaan perpaduan, peranan perlu diasingkan untuk proses semak dan imbang,” katanya.
Beliau berkata, IDEAS mencadangkan Perdana Menteri harus komited untuk mencari seorang Menteri Kewangan yang sesuai; seseorang yang boleh melaksanakan kerajaan yang telus dan bertanggungjawab.
Katanya, Menteri Kewangan juga perlu mengawasi pembaharuan fiskal seperti melaksanakan Akta Tanggungjawab Fiskal yang tergendala sejak sekian lama.
“Perdana Menteri menunaikan sebahagian daripada janjinya ketika sidang media pada 24 November lalu untuk mewujudkan Kabinet yang lebih kecil.
“Kami juga melihat perwakilan wanita, belia dan wilayah yang lebih baik dalam barisan Kabinet ini. Hal ini dicerminkan menerusi lima jawatan menteri dengan lima ahli politik wanita, empat ahli politik belia, dan enam wakil Borneo termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri.
“Bagaimanapun, kami amat berharap Perdana Menteri tidak mengikut langkah pentadbiran sebelum ini yang melantik timbalan menteri dan duta khas bertaraf menteri, untuk memuaskan hati pelbagai pihak dan menjadikan saiz Kabinet terlalu besar,” katanya.
Beliau berkata, pada masa sama, IDEAS mengucapkan tahniah kepada semua menteri yang telah diberi tanggungjawab dan peluang untuk berkhidmat kepada negara dan rakyat kerana sudah tiba masanya untuk melaksanakan manifesto pilihan raya yang dijanjikan oleh gabungan mereka kepada pengundi.
Katanya, walaupun setiap gabungan menekankan aspek dasar yang berbeza dalam manifesto masing-masing, kebanyakannya berkongsi matlamat yang sama iaitu untuk meringankan beban rakyat dan mempercepat pembaharuan institusi.
Beliau berkata, IDEAS berharap pembaharuan institusi utama yang disebut oleh BN dan PH ketika tempoh berkempen seperti janji untuk menggubal Undang-undang Pendanaan Politik dan pengasingan kuasa antara peranan Pendakwa Raya dan Peguam Negara akan dilaksanakan dengan pantas.
“Sehubungan dengan itu, kami berharap akan dapat menjalin hubungan rapat dengan Menteri Undang-undang yang baru dilantik serta semoga beliau akan melaksanakan pembaharuan ini secara agresif dalam masa terdekat.
“Selain itu, kami juga berharap untuk meneruskan hubungan dengan Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan berkenaan isu-isu yang diperjuangkan oleh IDEAS mengenai pembaharuan perolehan awam, belanjawan, ekonomi, perdagangan, kesihatan dan pendidikan,” katanya.
Pada masa sama, IDEAS menggesa Perikatan Nasional (PN) untuk memainkan peranannya sebagai pembangkang yang berkesan dan adil kepada kerajaan sedia ada.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

