PELANTIKAN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri telah mengambil kira semua faktor dalam situasi Kerajaan Perpaduan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun Ahmad Zahid berdepan dengan perbicaraan mengenai kes rasuah di mahkamah, namun beliau belum dijatuhkan hukuman.
Kata beliau, pada masa yang sama, Ahmad Zahid juga merupakan Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN).
Perdana Menteri menegaskan, tidak mempunyai masalah dengan mana-mana pihak yang mempertikaikan pelantikan Ahmad Zahid kerana itu adalah hak peribadi masing-masing.
“Itu adalah hak mereka untuk pertikai tetapi (atas) alasan apa dan siapa yang pertikaikan itu?
“Dia (Ahmad Zahid) didakwa, belum ada hukuman, proses itu kita harus hormati dan kebetulan juga dia Presiden UMNO dan Pengerusi BN.
“Dalam keadaan Kerajaan Perpaduan ini, saya mesti mengambil kira semua faktor itu,” katanya.
Baca artikel berkaitan: Cabutan khas perjudian turun kepada hanya lapan kali – Anwar
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet, hari ini.
Jumaat lalu, Anwar mengumumkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri walaupun Presiden UMNO itu berdepan 47 pertuduhan rasuah dan pecah amanah melibatkan jutaan ringgit.
Mengulas lanjut, Anwar turut melontarkan persoalan terhadap mana-mana pihak yang mempertikaikan pelantikan Ahmad Zahid.
Kata beliau, individu yang melaungkan soal rasuah itu perlu juga bersih.
“Saya musykil, ini bukan saya suarakan sekarang tapi secara konsisten sudah bertahun. Orang yang menjerit soal rasuah itu harus bersih, dia tak boleh jerit rasuah tetapi mereka ambil projek ratus-ratus juta.
“Sebab itu apabila dicabar sewaktu kempen (PRU-15), saya kata sama-sama kita isytihar harta.
“Saya sanggup isytihar harta dalam dan luar negara, saya juga nak orang-orang ini termasuk Ketua PN isytihar harta dia di Malaysia, Australia dan beberapa negara lain. Tak ada jawapan,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

