Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. /Gambar FB BHEUU JPM

SOAL untuk mengadakan undi percaya bagi menentukan keabsahan seorang Perdana Menteri sebenarnya tidak terkandung dalam mana-mana undang-undang negara ini.

Malah, mekanisme untuk menyatakan keabsahan itu juga tidak tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Perdana Menteri sebagai Ketua Majlis Mesyuarat atau Leader of The House boleh membawa dan menyegerakan usul yang dirasakannya penting.

Menurut Wan Junaidi, soal keabsahan sebenarnya tidak perlu dilakukan berdasarkan kepada undang-undang negara.

Justeru, Wan Junaidi berkata, apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Majlis Mesyuarat mahu diabsahkan, jadi ia menjadi satu perkara penting yang perlu dipatuhi walaupun tidak terkandung dalam peraturan.

“Mengikut sistem perundangan kita, tak ada mengatakan keabsahan perlu dibuat, sama ada disegerakan atau tidak, memang tak perlu.

“Ini kerana kita tak memandang keabsahan seseorang Perdana Menteri itu perlu pada ketika itu tetapi perkara ini jadi satu ‘trend’ pandangan ahli Parlimen sekarang untuk memastikan seorang ahli Parlimen dalam keadaan majoriti yang tidak pasti oleh kerana satu-satu blok parti.

“Saya tahu Anwar memang berminat dengan soal keabsahan, reformasi ini.

“Jadi apabila beliau kata nak diabsahkan kedudukannya, beliau bercakap atas kapasiti sebagai Leader of the House dan mesti dipatuhi,” katanya dalam program Agenda Awani: Undi percaya, Uji Keabsahan, malam tadi.

Baca artikel berkaitan: Sidang Parlimen 19 Disember dua hari, pilih Yang Dipertua, usul undi percaya

Jelas Wan Junaidi, sekiranya ia dibawakan oleh ahli Dewan biasa, ianya perlu melalui beberapa peringkat prosedur dan lazimnya usul sedemikian tidak berjaya sampai untuk dibahaskan di Parlimen.

“Bila bagi notis 14 hari, ia kemudian akan disenaraikan bawah peraturan mesyuarat, ikut keutamaannya di bawah Peraturan 15 dan macam-macam lagi.

“Tapi oleh kerana ia dibangkitkan oleh the Leader of the House, menteri akan beritahu kepada Speaker (Yang di-Pertua Dewan Rakyat) bahawa ia satu perkara kepentingan orang ramai dan perlu disegerakan, satu hari notis sudah cukup,” katanya.

Usul undi percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri menjadi antara agenda utama pada mesyuarat pertama Penggal Pertama Parlimen Ke-15 yang akan berlangsung selama dua hari mulai 19 Disember ini.

Berdasarkan Notis Mesyuarat Pertama dikeluarkan Setiausaha Dewan Rakyat Dr Nizam Mydin Bacha Mydin untuk edaran kepada Ahli-Ahli Parlimen, pemilihan dan angkat sumpah Yang Dipertua Dewan Rakyat adalah antara aturan urusan persidangan itu di peringkat permulaan.

Ketika ini, Yang Dipertua Dewan Rakyat disandang Tan Sri Azhar Azizan Harun.

Aturan urusan mesyuarat diikuti dengan upacara mengangkat sumpah kesemua 222 Ahli Parlimen yang menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Usul undi percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri yang menjadi tumpuan terkandung pada nombor lapan di bawah aturan urusan mesyuarat.

Anwar dalam sidang media sulung selepas mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri ke-10 pada 24 Nov berkata satu usul undi percaya akan dibentangkan pada persidangan Parlimen pada 19 Dis bagi menamatkan soal keabsahan beliau selaku perdana menteri.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram