Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diapit Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof dalam sidang media. GAMBAR: Ihsan Pejabat Perdana Menteri

PEMERHATI Rasuah Malaysia (MCW) menuntut Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak melepaskan anggota Kabinet yang masih terlibat dengan kes mahkamah.

Organisasi bukan kerajaan (NGO) itu mahu mereka yang berdepan dengan kes mahkamah dibicara dengan adil dan saksama mengikut lunas perundangan negara.

“Sejujurnya kami menghormati keputusan senarai anggota Kabinet pilihan Perdana Menteri.

“Namun, harapan tinggi MCW terhadap status anggota Kabinet yang masih terlibat dengan kes di mahkamah tidak akan dilepaskan dengan begitu sahaja oleh Jabatan Peguam Negara.

“Ia mesti melalui perbicaraan mahkamah yang telus supaya dapat menyakinkan rakyat terhadap kerajaan baharu ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu menyenaraikan harapan rakyat Malaysia terhadap Perdana Menteri dan barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Baca artikel lain: Masa untuk bekerja! PM bersyukur Kabinet sudah lengkap

Pada masa sama, MCW menuntut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diperkasakan sebagai sebuah organisasi yang unggul.

Bagi merealisasikannya, MCW mencadangkan SPRM diletakkan di bawah Parlimen selain memiliki kuasa autonomi untuk membuat keputusan.

“Berkuasa sepenuhnya ke atas pelantikan dan pemecatan pegawai SPRM, bersifat autonomi serta mempunyai peruntukan khas sendiri.

“MCW berharap hak SPRM tidak diganggu gugat. Kemasukan ‘orang luar’ yang bukan dalam bidang dan pengalaman berkaitan amatlah tidak aiu-alukan untuk menerajui SPRM,” katanya lagi.

Selain itu, MCW turut menuntut prosedur penyiasatan kes rasuah yang dominan menuding jari dan meletakkan kesalahan ke atas penerima rasuah sahaja harus dibetulkan segera.

Katanya, para pemberi rasuah yang tampil melapor perlu turut dikenakan hukuman setimpal kerana tanpa mereka pasti tiada penerima.

“Rakyat dan mangsa rasuah perlu dilindungi dengan lebih baik dengan pemantapan Akta Pemberi Maklumat (Akta 711) dan Akta Perlindungan Saksi (Akta 696).

“Pembongkaran kes melalui wartawan atau media perlu mendapat saluran khas penyiasatan dan mempunyai perlindungan istimewa,” tegasnya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram