Setiausaha Agung MIC, RT Rajasekaran.

MAJLIS Tertinggi Barisan Nasional (BN) tidak pernah membincangkan syarat-syarat terkandung dalam memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara parti gabungan Kerajaan Perpaduan.

Setiausaha Agung MIC, RT Rajasekaran berkata, majlis tidak pernah memanggil sebarang mesyuarat untuk membuat keputusan berkenaannya secara bersama.

Katanya, kali terakhir Majlis Tertinggi BN mengadakan mesyuarat adalah pada 22 November lalu.

Ujarnya, di bawah Perlembagaan BN, pengerusi tidak berkuasa untuk membuat sebarang keputusan berkaitan Ahli-Ahli Parlimen BN tanpa berunding dengan parti komponen.

“Ia juga terpakai kepada Akuan Berkanun (SD) yang kononnya ditandatangani oleh Ahli-Ahli Parlimen BN sebelum Pilihan Raya Umum (PRU). SD tidak pernah disahkan dan diluluskan oleh Majlis Tertinggi BN.

“Saya membangkitkan isu SD di sini dan sekiranya terdapat hujah balas bahawa Pengerusi BN telah diberikan kuasa tanpa had di bawah SD tersebut,” katanya seperti dilapor Astro Awani, hari ini.

Baca artikel lain: Ramai ahli UMNO nyata minat serta Pas

Khamis lalu, Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (Warisan) menandatangani MoU bagi membentuk Kerajaan Perpaduan.

Mou itu dimeterai Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Setiausaha Agung GRS, Datuk Masidi Manjun; Setiausaha Agung GPS, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua Jr yang disaksikan semua pengerusi gabungan terlibat.

Antara syaratnya ialah mengikat Ahli Parlimen yang gagal, enggan dan cuai untuk mengekalkan keabsahan Kerajaan Perpaduan dalam sebarang undian di Parlimen perlu mengosongkan kerusi serta-merta.

Turut digariskan ialah setiap parti hendaklah bertanggungjawab menguruskan secara dalaman bagi memastikan sokongan Parlimen untuk mengekalkan Kerajaan Perpaduan dalam sebarang undian.

Dalam pada itu, Rajasekaran mendakwa, sehingga kini tidak percaya mana-mana parti komponen diberikan salinan SD yang telah mereka laksanakan sebelum ini.

Justeru, beliau mempersoalkan bagaimana Pengerusi BN melaksanakan MoU tanpa mendapat kelulusan majlis tertinggi.

“Ini menunjukkan jelas sekali bahawa MoU itu tidak boleh dan tidak boleh mengikat mana-mana Ahli Parlimen sekiranya Majlis Tertinggi BN tidak mengesahkan perjanjian tersebut.

“Ia juga tidak sesuai dengan tugas mana-mana Ahli Parlimen untuk mengikat diri mereka dengan kerajaan ini tanpa terlebih dahulu mengambil kira kepentingan terbaik pengundi mereka,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana sekiranya dasar kerajaan tidak selaras dengan objektif dan prinsip setiap parti komponen dalam BN.

“Bagaimana pula sekiranya setiap Ahli Parlimen tidak memutuskan apa-apa dasar dan undang-undang tertentu berdasarkan kesedaran dan kepentingan terbaik mereka untuk pengundi mereka.

“Nampaknya tidak kira betapa teruknya dasar kerajaan atau betapa tidak popular atau tidak adilnya kerajaan, Ahli Parlimen perlu menyokong kerajaan kerana takut kehilangan kerusi mereka,” ujarnya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram