SEORANG peserta program All Together Now Malaysia musim kedua (ATNM2) teruk dikecam netizen selepas menunjukkan sikap biadab ketika menjawab pertanyaan salah seorang juri iaitu Catriona Ross.
Bahasa tubuh remaja perempuan berusia 16 tahun yang dikenali sebagai Fika itu mengundang kemarahan netizen kerana dianggap tidak menghormati barisan juri yang berada di hadapannya.
“Minat. Mestilah minat, kalau tak buat apa saya bawa (menyanyikan lagu),” kata remaja itu dengan nada berbaur sinis.
Tindakan yang disifatkan kurang ajar itu turut mendapat perhatian Datuk Syafinaz Selamat selaku Kapten atau ketua juri ATNM2.
“Nasib baik awak bukan anak murid saya. Kalau anak murid saya jawab dengan saya macam tu, dah lama menangis.
“Hati-hati bila menjawab. Bila orang bertanya soalan, kita kena cantik sikit bahasa kita, ya dik,” tegur Syafinaz.
Dalam pada itu, Catriona menerusi Instagram, telah membuat teguran secara terbuka kepada mereka yang ingin berjaya.
“Apa pun impian kita, siapa pun kita atau impian yang ingin dicapai, jangan pernah lupa empat perkara iaitu sikap, hormat, disiplin dan merendah diri.
“Jaga tutur kata sebab dengan cara bertutur, ia akan menggambarkan karakter kamu. Hormat bila ada sifat menghormati sesamaa kita, kita akan sangat disenangi malah akan juga diingati.
“Disiplin. Ini kunci penting mengapa ramai orang berjaya dalam hidup. Merendah diri. Sangat penting. Terlalu,” tulisnya.

