PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa, parti itu memiliki pandangan buruk terhadap DAP kesan daripada doktrin yang ditanam oleh bekas pemimpinnya Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dakwanya, selama 20 tahun ahli UMNO diberitahu tentang perkara-perkara buruk yang dibawa oleh parti tersebut.
Justeru, katanya, mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan keberadaan DAP di dalam Kerajaan Perpaduan sepatutnya memarahi bekas Perdana Menteri itu dan tindakannya sebelum ini.
“Patut marah Dr Mahathir dulu, dia yang bawa DAP masuk dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) pertama kali dulu.
“Dia yang mendoktrin kami 22 tahun dan memberi gambaran yang sangat-sangat negatif pada parti itu, tetapi akhirnya mendakap parti itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam Program Jawab, Saya Tanya – Rekonsiliasi Politik: Apa Untung Pada Negara? di Nrchanneltv, malam tadi.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid tidak menyimpan sebarang masalah dengan mana-mana pemimpin komponen yang pernah bersuara mendesak beliau melepaskan jawatan.
Katanya, beliau memahami tekanan dialami pada ketika itu selain daripada ‘disimbah’ dengan kata-kata dalam kalangan pemimpin dalaman yang enggan didedahkan siapa mereka.
“Saya tidak mahu menyebut atau mengaibkan mana-mana individu tetapi saya tahu ianya datang daripada individu daripada dalam.
“Tetapi apabila Kerajaan Perpaduan ini telah terbentuk jelas mereka (pemimpin komponen) memberikan dukungan.
“Saya fikir janganlah dikenang peristiwa yang telah lalu, let us move on untuk kita membentuk satu gagasan baru,” katanya lagi.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

